Tuesday, May 4, 2010

Karangan Selesema Influenza A H1N1

Selesema babi semakin serius dan menular dengan begitu cepat. Daripada status epidemik, selesema babi yang juga dikenali sebagai influenza A H1N1 kini menjadi suatu pandemik. Penularannya yang merentasi benua dan sempadan negara kini meragut ribuan nyawa dan bilangan kesnya mencecah suku juta. Penyakit ini dikatakan sangat berbahaya kerana mampu menyebabkan kematian dalam tempoh masa yang singkat jika dibandingkan dengan AIDS atau penyakit berbahaya yang lain. Ada yang menganggap penyakit ini sebagai suatu bala, ada juga beranggapan bahawa penyakit ini berpunca daripada virus yang dicipta oleh manusia. Walau apapun pendapat dan pandangan yang diutarakan, penyakit itu kini semakin kronik dan penularannya peru diatasi dengan segera.

Selesema babi ini mula-mula dikesan di Mexico. Mangsa pertama yang menghidap penyakit ini ialah penternak babi. Penternak babi tersebut berasa tidak sedap badan lalu mendapatkan rawatan di sebuah klinik. Doktor di klinik itu beranggapan bahawa penternak babi itu hanya mengidap demam biasa dan dia dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan. Selang beberapa hari, penternak babi itu datang semula bersama dengan seorang lagi rakannya yang mempunyai symptom yang sama. Beberapa hari selepas itu, kedua-dua orang pesakit tadi meninggal dunia. Kini, terdapat puluhan ribu penghidap selesema babi di Mexico. Negara ini juga mencatat jumlah kematian antara yang tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, Argentina, dan Brazil. Oleh sebab tiada langkah berkesan yang diambil, penyakit itu kini sudah merebak di ratusan negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, penghidap pertama penyakit ini ialah seorang pelajar yang menuntut di Amerika Syarikat. Dia dijangkiti virus ini daripada penumpang yang berasal dari Mexico ketika dalam penerbangan pulang ke Malaysia. Pelajar itu telah dirawat dan dikuarantinkan di Hospital Selayang selama seminggu. Rakannya yang menuntut di university yang sama turut mendapatkan rawatan secara sukarela selepas mengalami symptom yang sama dengan pelajar tadi. Penularan wabak ini kepada kedua-dua pelajar tersebut membuktikan bahawa penyakit ini mudah menjangkiti orang lain. Terkini, sudah puluhan nyawa yang terkorban dan bilangan kes juga meningkat dari sehari ke sehari. Daripada dua kes import, kita berhadapan dengan ribuan penularan kes tempatan. Badan kesihatan dunia, WHO meramalkan sebanyak 5 juta penduduk di negara ini berisiko dijangkiti wabak ini jika tiada langkah drastik yang diambil oleh penduduk dan pihak yang bertanggungjawab untuk menyekat penularannya. Dalam hal ini, cogan kata “cegah sebelum parah” wajar dijadikan panduan.

Selain memikirkan langkah pencegahan, persoalan yang timbul adalah tentang punca wabak ini menular dengan begitu cepat ke serata negara. Pada pihak rakyat, sikap kurang prihatin dan sambalewa mereka dalam mencegah wabak ini menjadi punca utama penularan wabak ini di serata negara. Mereka mengambil mudah akan ancaman penyakit ini dan hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah di peringkat serius. Ada anggota masyarakat yang telah mengunjungi negara-negara yang diserang wabak ini enggan berjumpa dengan doktor setelah mengalami symptom penyakit ini. Selain itu, ada pesakit yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah gagal mematuhi arahan tersebut. Sikap pesakit yang tidak bertanggungjawab ini samalah dengan maksud peribahasa “ masuk telinga kanan, keluar telinga kiri” dan “bagai mencurah air ke daun keladi”. Lebih membimbangkan adalah apabila mereka tidak memakai topeng muka untuk mencegah penularan wabak ini kepada orang ramai. Kesimpulannya, pencegahan awal dapat menyelamatkan nyawa dan sikap bertanggungjawab anggota masyarakat dapat menyekat penularan wabak ini.

Selain itu, kelemahan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan juga menjadi punca menularnya penyakit ini. Kelemahan agensi-agensi tersebut dapat dilihat melalui peningkatan kes positif dan kematian yang berpunca daripada selesema babi secara mendadak. Antara kelemahan yang dikesan termasuklah kelewatan mengambil tindakan drastic untuk menyekat penularan penyakit ini. Proses saringan di pintu masuk negara juga kurang berkesan kerana daripada dua kes import, negara kini berhadapan dengan ratusan kes tempatan setiap hari. Selain menasihati pesakit selesema babi, mereka yang ingkar dengan arahan untuk menjalani kuarantin perlu dikenakan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian. Tindakan ini dapat menyekat penularan tempatan. Selain kempen, pihak kerajaan perlu merangka langkah pencegahan yang lebih efektif dan bukan hanya sekadar mengharapkan kesedaran orang awam semata-semata. Justeru, agensi kerajaan yang berkaitan perlu produktif dan efisien semasa menjalankan tanggungjawab mereka. Sikap umpama “melepaskan batuk di tangga” perlu dijauhi oleh kakitangan agensi-agensi terbabit

Selain faktor manusia, faktor perubahan cuaca juga menyebabkan virus ini cepat merebak. Hal ini turut diakui oleh WHO dan badan kesihatan dunia itu meramalkan bahawa peyakit ini akan menular berkali-kali ganda pada musim hujan. Hal ini demikian kerana keadaan lembab dan kering yang bersilih ganti ini menyebabkan banyak penduduk di negara ini akan mengalami selesema dan batuk. Jika tiada langkah pencegahan yang diambil seperti memakai topeng muka dan mengamalkan kebersihan diri, maka wabak ini akan mudah menjangkiti orang lain. Oleh itu, orang ramai digesa agar mengambil langkah pencegahan yang disarankan dengan lebih serius agar mereka terhindar daripada pandemik yang sudah dilabelkan sebagai tahap enam oleh WHO.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berhadapan dengan isu ini dengan penuh kesedaran bahawa tiada seorang pun akan terlepas daripada jangkitan jika tidak menjaga kebersihan dan mengamalkan langkah pencegahan yang berkesan. Oleh itu, “sebelum nasi menjadi bubur”, masyarakat perlu membuat anjakan paradigm dengan tidak meletakkan tanggungjawab pembasmian penyakit kepada pihak yang berwajib sahaja dan pada masa yang sama pihak yang bertanggungjawab mestilah meningkatkan mutu perkhidmatan. Hakikatnya, berpegaglah pada peribahasa “ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis” dan “ sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.



dipetik daripada buku terbitan Sasbadi BRAVO SPM Tingkatan 4 oleh Mohd Salleh Hassan, Ishak Md. Shah, Suriati Ibrahim, Fadzri Aris dan Zakaria Jap

No comments:

Post a Comment