gambar sebelum  gambar berikut
  • Foto Amri dan Aisyah bersama anaknya Abdul Rahman dan Abdullah.
  • Foto Harun Din dan cucunya, Muhammad Haris Ahmad Zazali, dua setengah tahun yang petah berkata-kata. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Terpaku, rasa kagum dan hebat. Itulah reaksi sesiapa yang menyaksikan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun begitu lancar dan yakin menghafal surah Yasin.

Wajahnya bersih dan tenang tanpa rasa gementar terus menghafal potongan ayat suci meskipun aksinya itu dirakam dalam program kanak-kanak‚ Pesan Atok, terbitan Tv9, baru-baru ini.
Kehebatannya mendapat perhatian ramai ibu bapa dan menganggap inilah kanak-kanak dicari untuk mewarisi generasi masa depan bijak dalam segenap segi khususnya bidang agama.


Terdetik di lubuk minda dalam ledakan dunia globalisasi dengan semuanya serba moden, ibu bapa tidak alpa terhadap pendidikan agama anak khususnya mempelajari al-Quran sebagai tonggak utama amalan mereka.

Namun, semua kecemerlangan anak, bijak membaca dan menghafal al-Quran bukan dicipta dengan cara mudah, sebaliknya memerlukan didikan pada peringkat awal usia.

Ibu bapa wajar mendidik anak sejak mereka dalam kandungan lagi kerana perhubungan ibu dan anak berlaku secara tidak langsung walaupun baru berbentuk janin.

Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata proses mendidik anak sebetulnya bermula pada peringkat awal kehamilan kerana walaupun berada dalam rahim kerana antara mereka wujud kesinambunganwarisan.
Katanya, ada tiga peringkat pendidikan perlu dilakukan ibu bapa mendidik anak dan menjadikannya insan berguna.

“Proses pertama ialah pendidikan ketika dalam kandungan, kedua memberi nama sebaik saja dilahirkan dan mengikuti adab lain manakala ketiga tadib atau taalim kepada anak,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau, di ibu kota, baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila melihat anak berkelakuan baik, mendengar cakap ibu bapa dan penuh adab tertib dan sopan santun, siapa saja yang melihat pasti terfikir sejuk perut ibu mengandungkan anak itu.

Begitu juga sebaliknya jika tidak sopan, tentunya terlintas pada fikiran anak siapakah yang berperangai begitu.

Hakikat perlu diterima, ibu segala-galanya dalam proses pembesaran anak sama ada baik atau buruk anak, ibu juga yang akan diperkatakan.

“Ibu perlu tahu peranannya dalam membesarkan anak, bahkan sejak peringkat awal mengandung ibu sudah boleh mendidik anak," katanya.

Abu Hassan berkata, kesemua peringkat berkenaan penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri anak kerana peringkat dalam kandungan adalah antara detik terbaik mendidik anak walaupun mereka belum lagi melihat dunia.

“Emosi ibu mengandung lazimnya sangat rencam.

Kita tidak tahu emosi mereka boleh berubah-ubah.

Sebab itu jika diperhatikan di negara barat, mereka akan melayan isteri dengan baik, memberi makan makanan bermutu dan enak.

“Bahkan mereka juga sanggup membawa isteri terutama yang mengandung ke kawasan bersih, cantik pemandangannya dan yang boleh membawa kesan positif kepada isteri kerana persekitaran yang baik akan mempengaruhi isteri seterusnya memberi kesan kepada anak dalam kandungan,” katanya.

Beliau berkata, layanan baik daripada suami dan individu sekeliling akan mendatangkan kesan kebaikan kepada ibu mengandung.

“Selepas sembilan bulan 10 hari dan anak dilahirkan, proses lain yang perlu dilakukan untuk membentuk sahsiah dan jati diri anak supaya menjadi insan benar-benar berwibawa ialah memberi nama kepada anak.

“Nama yang baik akan membawa kesan baik kepada anak kerana kita memanggil nama mereka dan sentiasa disebut. Kata-kata itu juga seperti satu doa.

Memanggil nama yang baik seperti mendoakan kebaikan anak,” katanya.

Rutin menyusukan bayi sebahagian proses pendidikan kerana di situ wujud pertalian halus antara ibu dengan bayi yang tidak mungkin dapat dirasai orang lain yang tidak melalui detik itu.

Bayi seolah-olah menikmati keenakan susu ibu sepenuh hati ketika menyusu sambil ibu bersembang dengan bayinya mengenai perkara baik.

Proses ketiga perlu ada dalam kehidupan kanak-kanak ialah tadib atau juga disebut taalim, iaitu bercakap dan mengajar anak mengenai ilmu kehidupan, mendidik mereka membaca al-Quran dan menerangkan amalan baik lain. Ajar mengenai ilmu kehidupan.

Selepas solat ajar anak mengaji atau membaca doa. Cara ini lebih meresap,” katanya.