Bab
22: Kain Merah yang Reput
Cerita bermula dengan Abu Bakar
menemui kakaknya selepas solat Jumaat lalu bertanya sama ada Embong marak akan
Bakar. Lia menjelaskan bahawa jika mereka menjadi anak yang baik, bapa mereka
tidak akan marah. Bakar mengatakan bahawa tidak mungkin bapanya tidak marah
tentang penjualan kambing olehnya. Dahlia memberitahu bahawa walaupun bapanya
marah, kambing itu tidak akan diperoleh semula, bapanya menahan rasa marah.
Dahila memberitahu Bakar bahawa mereka beruntung kerana ibu bapa mereka tidak
pernah menyekat kebebasan mereka, tidak menengking mereka, jadi mereka perlu
faham perasaan mereka sebagai anak. Bakar berasa sangat kesal dan sedar akan
kesilapannya selama ini. Dia terikut-ikut rentak rakan-rakannya yang semuanya
daripada keluarga senang.
Bakar teringat kata-kata rakannya
bahawa mereka selalu belanja Bakar, bila pula Bakar hendak belanja mereka?
Bakar memberitahu bahawa dia tidak ada duit, kalau ada duit, dia akan belanja.
Kawan-kawannya menanyakan bila masa Bakar hendak belanja mereka. Mereka
menyuruh Bakar balik rumah, tengok cermin, lihat siapa diri Bakar, siapa
mereka. Dahlia memberitahu bahawa ayahnya memilih anak Abu Bakar agar Bakar
segagah Saidina Abu Bakar yang sanggup bersusah payah menghadapi cabaran menegakkan
syiar Islam tetapi rupa-rupanya diri bapa mereka yang dibakar.
Abu Bakar mendapatkan kakaknya yang
duduk di pintu tengah. Selepas menyudahkan kerja rumah, adik-adiknya duduk di
ruang tamu menelaah pelajaran. Bakar memberitahu Dahlia bahawa dia akan membuktikan
bahawa dia boleh menjadi orang yang baik. Dahlia mengangguk sahaja dan tidak
mahu mencabar. Bakar pula mengatakan bahawa jika Nek Kiah datang lagi menuntut
tanah, dia akan memenggal kepalanya. Dahlia menegur Bakar supaya tidak bercakap
begitu. Nek Kiah merupakan nenek mereka dan orang tua memang nyanyuk, tidak
perlu dilayan, meminta Bakar bercakap dengan lembut, satu hari nanti Allah akan
melembutkan hati nenek. Timbul persoalan dalam minda Bakar mengapa dirinya
masih celopar dan mengikut perasaan. Kakaknya Dahlia yang menghadapi pelbagai
cabaran, tetapi masih tabah.
Bakar membuat apa-apa sahaja kerja,
membelah kayu dan longgokannya di bawah rumah. Selepas menyusun kayu, dia
mengemas di bawah rumah yang berselerak. Dahlia terasa lebih santai, tidak
terkejar-kejar membuat kerja rumah. Jika kerja rumah dibereskan, pelajarannya
pula tertinggal. Kata-kata Cikgu Hisyam terngiang-ngiang di telinganya bahawa
Dahlia calon 5A dalam STPM, benarkah kata-kata Cikgu Hisyam itu atau sekadar
menyedapkan hatinya. Dalam hati, Dahlia mahu tunaikan harapan Cikgu Hisyam.
Dahlia hanya menyepi, membiarkan Abu Bakar yang membebel ketika mengemas di
bawah rumah. Dahlia melihat rumah di depan, sepanjang hari, dia tidak nampak
neneknya keluar. Kebiasaannya nenek sudah memberi ayam makna, menyidai pakaian,
paling tidak membuka tingkap. Dahlia bertanya kepada Bakar sama ada dia nampak
nenek. Bakar menjawab “lantak” dan dimarahi Lia. Menyedari kesilapannya, Bakar
mengatakan bahawa dia tidak nampak, mungkin neneknya tidur. Di balai raya pagi
tadi pun, Dahlia tidak nampak neneknya yang selalunya akan datang membantu.
Apabila ditanya Melati, Melati juga mengatakan bahawa dia tidak nampak nenek,
rumah neneknya juga tertutup. Dahlia terdiam, memikirkan tempat yang ditujuinya
neneknya, tidak mungkin nenek pergi ke rumah Pak Cik Seman kerana sudah lama
Seman tidak datang, lagipun pasti Pak Cik Seman sibuk dengan majlis Maulidur
Rasul di kampungnya sendiri. Pada pendapat Lia, seburuk-buruk keluarganya di
mata nenek, seburuk-buruk sikap nenek terhadap keluarganya, sebagai orang tua,
nenek patut dihormati, apatah lagi mereka ada pertalian darah. Dahlia percaya
kalau bukan kerana hasutan bapa saudaranya, nenek tidak akan bersikap seperti
itu. Hati Lia tidak tenang, usia neneknya sudah melewati 80-an, hidup pula
bersendirian, Lia bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepada neneknya.
Bakar terjumpa sesuatu lalu
memanggil kakaknya turun, Melati dan Kiambang yang mendengar panggilan juga
bergegas turun. Dahlia, Kiambang dan Melati menutup hidung mereka kerana terbau
sesuatu yang cukup busuk. Abu Bakar dengan perasaan prasangka menunjukkan satu
bungkusan yang dicungkilnya dari dalam tanah. Kain merah yang reput dikuis.
Bakar membawa keluar 2 biji telur ayam berwarna hitam. Sebiji sudah pecah, dipecahkan
sebiji lagi, bau semakin busuk. Apabila dikuis isi telur, alangkah terperanjat
apabila mendapati jarum peniti, cincin akik, butiran pasir dan 2 batang paku di
dalam telur itu. Mereka saling berpandangan, Abu Bakar mengatakan bahawa ada
orang yang dengki terhadap mereka. Dahlia tiak mahu mengulas kerana dia tidak
mempercayai perkara syirik. Bakar berkata bahawa mereka tunggu bapanya balik
dari balai raya, kalau bapanya setuju, mereka akan berjumpa dengan bomoh untuk
mengetahui orang yang dengki akan mereka. Dahlia berkata bahawa tentu bapanya
tidak akan bersetuju. Bakar berkata bahawa orang yang dengki akan keluarganya
tidak boleh dibiarkan, mungkin itulah punca emak mereka sakit. Kalau mereka
tahu orang yang dengki akan mereka, mereka boleh balas balik. Dahlia meminta
Bakar jangan menyimpan perasaan dendam. Melati mengangguk, Kiambang pula diam
sahaja, hatinya setuju dengan kata-kata abangnya. Dahlia menerangkan bahawa
Allah yang menentukan semuanya bukan manusia. Dia tidak percaya perkara syirik
seperti itu, surah An-Nisaa ayat 48 tetapi diingatinya.
Dahlia melangkah, Melati bertanya ke
mana Lia pergi. Lia ingin tahu sama ada Melati hendak mengikutnya ke rumah
nenek dan menyuruh Bakar membuang benda yang dijumpainya ke dalam sungai, tidak
perlu menunjukkannya kepada Embong, tidak ada faedahnya. Kiambang pula menyatakan bahawa tidak perlu
menengok neneknya, buat kerja lain lebih baik. Dahlia tidak marah kalau
adik-adiknya tidak mahu ikut, mereka ada perasaan, berhak untuk marah. Orang
marah dibalas dengan senyuman, orang keras dibalas dengan lembut. Dahlia selalu
berdoa satu hari nanti, neneknya akan sedar.
9 tahun lalu, semasa datuknya masih
hidup, tiada halangan untuk Dahlia ke rumah nenek. Di halaman rumah nenek, dia
bermain ketingting, gasing atau berkejaran di sekeliling rumah, bermain
kahwin-kahwin dan sembunyi-sembunyi. Datuknya sering menceritakan cerita Bawang
Merah Bawang Putih, Batu Belah, Batu Tertangkup dan Si Miksin menjadi Kaya.
Datuk juga mengajarnya buat laying-layang, tangkap ikan pelaga di parit,
menyerkup burung terkukur, menjerat burung ayam-ayam dan menyanyi
berserulingkan daun ubi kayu. Sejak datuk tidak ada, hubungan dengan nenek
semakin jauh. Duit hilang, dikatakan Lia yang mencurinya, getah hilang, dituduh
adik-adiknya yang menjualnya, tanaman rosak, dikatakan kambing Lia merodoknya.
Ada sahaja yang tidak kena.
Dahlia mengintai di celah pintu, di
dalam gelap, tidak nampak apa-apa. Dia memijak tangga, sesampai di kepala
tangga, dia mengintai menerusi celah pintu, sekujur tubuh terbaring di ruang
tengah. Dahlia meminta neneknya membuka pintu, nenek bertanya apa yang
dikehendaki Dahlia. Lia menolak pintu, pintu terbuka, Lia masuk, nenek
memandang ke arahnya. Dahlia ingin tahu sama ada neneknya sakit. Nek Kiah
berkata bahawa selama ini memang dia sudah sakit, mengapa baru sekarang Dahlia
nak ambil tahu. Lia memberitahu dia akan membeli ubat untuk Nek Kiah. Nek Kiah
pula mengatakan Lia tidak ada duit untuk membeli ubat dan sakitnya sudah lama.
Dahlia menanyakan penyakit neneknya, Nek Kiah memberitahu bahawa dia sakit hati
dan menghalau Dahlia, dia tidak mahu Dahlia datang lagi ke rumahnya. Nek Kiah
berkata bahwa dia tahu dan tentu Lia gembira jika dia mati. Nek Kiah berpusing
membelakangnya, menyedari kedatangannya tidak disenangi, Lia bergegas turun,
sebelum pulang, Lia berkata bahawa neneknya tidak sihat, dia akan datang lagi
untuk melihat neneknya.
No comments:
Post a Comment