Monday, January 31, 2011

Cerpen 5: Hutan Rimba (Digarhayu Bahasa)

Cerpen 5 : Hutan Rimba

Bermula dengan Pak Tua memandu jentolak berjenama Caterpiller menumbangkan pokok-pokok, asap hitam keluar daripada cerobong jentolak, binatang melarikan diri, habitat mereka diceroboh, ada yang tidak sempat melarikan diri contoh ular. Dalam sekelip mata, hutan dara telanjang polos, timbul perasaan kesal dalam hati Pak Tua. Dia ingin hutan itu kembali rimbun. Lori-lori balak mengangkut batang-batang kayu kemudian menghamburkan kayu itu ke aliran Sungai Kinabatangan. Arus deras berwarna merah berlumpur akan menghayutkan rakit-rakit balak di muara seterusnya dihantar ke kilang-kilang papan di sekitar Daerah Sandakan. Mak Tua menyuruh Pak Tua agar tidak berasa kesal kerana mereka hanya cari makan. Pak Tua mengatakan bahawa hutan tidak perlu dirosakkan kalau cari makan pun. Mak Tua memberitahu Pak Tua itu rezeki mereka, terima sahaja tidak sia-sia usaha mereka, sebab anak-anak mereka dapat bersekolah hingga peringkat paling tinggi tanpa bantuan sesiapa. Anak sulungnya Ajam muncul dan memberitahu bahawa dia mampu membuka perniagaan pengangkutan bas antarakota melalui hasil daripada modal ribuan ringgit yang diberikan oleh Pak Tua. Perniagaannya makin maju kerana suntikan dana demi dana oleh Pak Tua. Ajam cuba menyedapkan hati Pak Tua dengan mengatakan bahawa hutan yang dulu digondol oleh Pak Tua sudah dijadikan kawasan perladangan, estet kelapa sawit. Datang pula Bakar, anak kedua Pak Tua. Bakar memberitahu bahawa Pak Tua sebenarnya telah menyumbang kepada pembangunan negara dan patut berasa bangga, dalam arus pembangunan, sesebuah negara pasti ada yang akan dikorbankan. Kawasan hutan dikorbankan untuk kawasan pertanian. Muncul pula Melati, anak ketiga Pak Tua mengingatkan kembali rasa bangganya dengan pekerjaan bapanya sebagai pemandu traktor ketika kawan-kawannya sibuk membuat pinjaman untuk masuk universiti, Melati tidak perlu kerana Pak Tua mengeluarkan duit daripada bank untuk membayar yuran dan perbelanjaan Melati ke universiti, Datang pula, Budi anak bongsu Pak Tua. Pak Tua hairan dengan kehadiran anak-anaknya di rimba yang sudah tiada hutan rimbanya. Pak Tua juga berasa bangga atas kejayaan anak-anaknya. Walaupun begitu Pak Tua masih berasa sesal, pendapatannya ribuan ringgit tetapi hutan yang terpaksa menjadi korban, Pak Tua mempersoalkan dirinya yang tidak memilih pekerjaan yang tidak perlu mengorbankan apa-apa selain tenaganya sahaja.

Dahulu Pak Tua meninggalkan kampung kerana petaka yang melanda, Disebabkan mahu mendapat tangkapan yang lumayan, Pak Tua dan rakan nelayan sering menggunakan bom buatan sendiri untuk mendapatkan ikan yang banyak. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka telah memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa berjuta-juta tahun untuk tumbuh dan tempat kehidupan plankton yang menjadi makanan ikan. Sekali sahaja bom dilemparkan, hancur semua terumbu karang. Oleh sebab tangkapan makin berkurangan, Pak Tua membawa diri ke negeri Sabah dan berharap akan mengubah kehidupannya. Nasib Pak Tua berubah, dia bukan sahaja dapat mencari rezeki malah mampu membina rumah tangga dan memakmurkan keluarganya.

Pak Tua mempersoalkan kesenangan hidupnya terhasil daripada kemusnahan hutan rimba dan kesesakan yang dirasakan di dadanya bertambah hingga Pak Tua menangis. Mak Tua memujuk Pak Tua jangan menyesali pekerjaannya yang dahulu, kalau dia menyesalinya bermakna Pak Tua menyesali pertemuaannya dengan Mak Tua.

Pak Tua bertemu dengan Mak Tua yang merupakan gadis sungai, semasa Pak Tua menaiki kapal menyusuri Sungai Kinabatangan untuk membuka kem-kem kayu balak, 40 tahun yang lalu Sandakan dan daerah Kinabatangan hanya dihubungkan oleh pengangkutan sungai. Mak Tua pada masa itu, sedang mandi-manda di sungai dengan kawan-kawan ternampak Pak Tua lalu berputik cinta . tetapi keluarga Mak Tua menentang kerana bimbang Pak Tua seorang perantau bukan peribumi akan membawa Mak Tua balik ke negeri asalnya, Pak Tua berjanji akan menetap di Sabah, berkat keluhuran dan sokongan bapa Mak Tua akhirnya Pak Tua berjaya memiliki Mak Tua.

Aroma nasi lemak mengejutkan Pak Tua daripada mimpi. Sudah banyak kali Pak Tua diganggu mimpi seperti itu. Sejak Pak Tua mendapat mandate daripada surat wasiat bapa mentuanya, sejak itu Pak Tua sering didatangi mimpi-mimpi yang kekadangan amat mengerikan. Mak Tua menyuruh Pak Tua bersiap kerana orang –orang di masjid sedang menunggu. Rutin Pak Tua pada petang setiap malam Jumaat adalah menghantar juadah ke masjid sambil terus melakukan solat fardu dan membaca surah Yasin.

Pak Tua mengumpul buah-buahan di kebunnya, untuk buah-buahan hutan seperti buah tampoi, durian merah, mata kucing dan martiam agak sulit untuk Pak Tua mendapatkannya, dia terpaksa meredah hutan menjolok dengan galah panjang agar tidak merosakkan pohonnya. Segala kesusahan dan jerih paya tidak dihiraukan oleh Pak Tua asalkan dia dapat menyediakan aneka buah-buahan untuk anak cucunya.

Sebuah bas mini dan 2 buah kereta buatan tempatan memasuki kawasan kebun Pak Tua. Tanah yang diwarisi oleh Pak Tua daripada bapa mentuanya dibiarkan menjadi hutan simpan, Pak Tua hanya membersihkan sedikit sahaja kawasan untuk tapak rumah dan untuk dusun buah-buahan. Hanya dengan cara itu Pak Tua berasa dia dapat menebus kesalahan memusnahkan hutan. Mak Tua yang melayan cucu-cucu menanyakan anak-anaknya iaitu Ajam, Bakar, Melati dan Budi sama ada mereka sudah dapat mencari pekerja untuk menjaga kawasan dusun dan hutan kerana kecurian kayu balak makin menjadi-jadi, Mak Tua takut kalau tidak dijaga, habis kaya balak dicuri. Bakar memberitahu mereka sudah mencari dan bulan depan akan mula bekerja. Melati memberitahu bahawa mereka merancang untuk menjadikan kawasan hutan bapanya kawasan pelancongan kerana ada aliran sungai yang boleh diperbesar menjadi kolam memancing ikan, mereka boleh meniru kawasan pelancongan seperti Lembah Danum di Lahat Datu, Sulaman Resort di Tuaran, atau Sukau, Budi mencadangkan mereka mengeluarkan modal bersama-sama menjadikan usaha itu satu perniagaan keluarga.Ajam memberitahu bahawa dia akan keluarkan modal yang lebih kalau tidak cukup boleh membuat pinjaman bank lagipun bidang yang diceburi oleh mereka bertepatan dengan imbauan Ketua Menteri yang mahu pembangunan pelancongan dibuat secara menyeluruh , tidak bertumpu di pusat-pusat bandar.

Pak Tua hanya mendengar perbincangan anak-anaknya dan menantunya, kemudian mendapatkan Mak Tua yang sibuk melayan kerenah cucu-cucu. Hari itu mereka sekelurga bermalam di rumah kebun dekat hutan simpan Pak Tua. Mak Tua dibantu oleh Melati dan ketiga-tiga menantunya menyiapkan hidangan makan malam.

Malam itu, Pak Tua tidur di ruang utama dengan cucu-cucunya, dia bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba yang indah dan damai. Dalam usia tuanya, Pak Tua berasa tenang dan bahagia, Pak Tua sudah bergelar ‘haji’ suasana hutan yang asli dengan irama malamnya yang misteri, itulah yang ingin dinikmati oleh Pak Tua. Pak Tua yakin mimpi ngeri tentang kemusnahan sebuah hutan rimba itu sudah lama berlalu.

Cintai Alam

Kesyukuran:

-Pak Tua memanjatkan syukur kepada Tuhan kerana dapat membesarkan dan kemudian menyekolahkan anak-anaknya sehingga berhasil dalam usaha mencapai cita-cita mereka

Mengenang jasa

-Pak Tua mengenang jasa pokok-pokok telah berkorban untuk dirinya

Pak Tua

-pemandu traktor

Mak Tua

-isteri Pak Tua

Ajam

-anak sulung Pak Tua dan Mak Tua

-membuka perniagaan pengangkutan antarakota

Bakar

-anak kedua Pak Tua dan Mak Tua

-seorang sarjana Pertanian yang bekerja sebagai pengurus ladang di sebuah estet kelapa sawit

Melati

-anak ketiga Pak Tua dan Mak Tua

-pensyarah sebuah institut pengajian tinggi


Budi

-anak bongsu Pak Tua dan Mak Tua

-seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan

No comments:

Post a Comment