Wednesday, November 21, 2012

Bacaan 2: 4Sc4

dipetik daripada Utusan Online

Mengurus keresahan anak muda terhadap sistem AES

SISTEM Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 23 September di 14 lokasi maut menimbulkan pro dan kontra dalam kalangan anak muda. Melepasi Lebuhraya Damansara-Puchong sebelum memasuki Putrajaya kita akan melihat kamera berkelip di sebelah kiri jalan.
AES berfungsi bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Pelaksanaan AES merupakan tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.
Sebanyak 14 lokasi maut yang disenaraikan berada di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dan bakal beroperasi di di 831 lokasi di seluruh negara.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), lokasi maut berkenaan ditentukan mengikut tahap keparahan akibat kemalangan berlaku dalam tempoh 2007 hingga 2010.
Fasa pertama pelaksanaan (sekitar dua minggu) AES mengenal pasti 63,558 pesalah trafik kerana memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. Imej kesalahan pesalah akan disemak dan disahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan kepada pesalah tersebut.
Menteri Pengangkutan mendakwa pemasangan AES berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus di 90 buah negara. Pihak kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini.
Apa lagi yang tidak dilakukan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya? Penggunaan topi keledar, pemakaian tali pinggang keledar, pemasangan lampu brek ketiga, menyalakan lampu motor di siang hari dan pemasangan tali pinggang keledar untuk penumpang belakang.
Kita tidak menolak sebarang usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Terdapat banyak kempen keselamatan jalan raya namun tragedi jalan raya masih berterusan terutama melibatkan anak muda yang berumur 16 hingga 25 tahun.
Statistik Miros menunjukkan sebanyak 414,421 kemalangan jalan raya dilaporkan pada tahun 2010 dibandingkan dengan 265,175 pada 2001, sementara itu angka kematian jalan raya meningkat daripada 5,849 kes pada 2001 kepada 6,872 kes pada tahun 2010.
Perlu juga diambil kira bahawa kualiti jalan juga menyumbang kepada kemalangan. Keadaan jalan berlubang dan tidak rata adalah faktor yang boleh menyebabkan kemalangan. Ia harus ditangani dan diperbaiki dengan kadar segera bagi mencegah kemalangan.Kadar had laju perlu dikaji semula dengan mengambil kira keadaan semasa seperti teknologi kenderaan yang canggih. Di sesetengah kawasan, penetapan had laju sekitar sekitar 60 hingga 70km/j adalah tidak bersesuaian.
Jika kompaun merupakan alat untuk mendidik pengguna semestinya jumlah kompaun yang dikenakan perlu berbeza mengikut kelajuan kesalahan kerana kelajuan berbeza mengundang risiko berbeza.
Menuju ke arah sebuah negara maju memerlukan rakyat yang bersedia dari segi sikap. Sikap pemanduan masih menjadi punca utama kemalangan. Pemandu Malaysia mempunyai personaliti yang berbeza ketika memandu kenderaan.
Walaupun AES berperanan mencegah kemalangan tetapi adalah wajar untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya kerana kita tidak mahu ia menjadi satu beban berterusan. Dasar dan tindakan kerajaan menjadi kriteria undi anak muda.
Selepas rakyat bergembira menerima Bajet 2013, fikiran rakyat dikotori oleh ceramah pembangkang kerana AES. Saban minggu ceramah Pakatan Pembangkang melabel AES sebagai usaha kerajaan untuk mengambil duit rakyat secara mudah. Bahkan mereka memomokkan penerima “Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM)" adalah hasil saman AES.
Pembangkang Malaysia yang kerap berkiblatkan pemikiran Singapura lupa bahawa bahawa pelaksanaan AES telah berjaya mengurangkan kemalangan di Singapura.
Negeri pembangkang seperti Kedah dan Pulau Pinang berhasrat menunda pelaksanaan AES di negeri mereka. Adakah penundaan ini sarat dengan mesej politik?
PRU-13 menjadi medan anak muda menilai dasar kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas bergembira dengan Bajet 2013, biarkanlah kegembiraan itu berpanjangan.
PENULIS ialah Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG)

No comments:

Post a Comment