Sunday, May 3, 2009

Ajar & Belajar

Kalau dahulu, peluang untuk seseorang itu diajar dan belajar adalah begitu terhad. Kini, kita tidak perlu tunggu untuk diajar, kita boleh belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Cara dan corak pengajaran dan pembelajaran juga begitu berbeza daripada dahulu.

Kalau dahulu, sekolah merupakan simbol pusat pengajaran dan pembelajaran. Seseorang yang belajar di sekolah dan lulus dalam peperiksaan tertentu akan dianggap sebagai seorang yang terpelajar. Pelajar-pelajar ke sekolah untuk tunggu diajar oleh guru.

Kini, peluang untuk belajar terbuka luas. Kita tidak lagi perlu ke sekolah untuk belajar. Sekolah hanya sebagai tempat formal untuk kita belajar. Mungkin apa yang kita pelajari secara tidak formal dengan menggunakan teknologi internet adalah lebih banyak, mendalam daripada apa yang diajar di sekolah. Apa yang diajar di sekolah termaktub dalam kurikulum yang telah dirangka.

Kalau dahulu, kita memerlukan guru untuk mengajar kita belajar. Kini, kita memerlukan guru untuk membimbing kita belajar.

Kalau kita ada kemahuan untuk belajar, kita tidak akan tunggu untuk minta diajar. Kita boleh belajar sendiri jika kita tahu mencari sumber pengetahuan yang ada. Jadi, teknik dan cara belajar adalah lebih penting diajar kepada pelajar daripada mengajar apa sahaja yang terdapat di dalam buku teks.

Pelajar perlu dibimbing dengan kemahiran menimba ilmu abad ke-21. Kemahiran 3M iaitu menulis, membaca dan mengira hanya menjamin seseorang itu celik huruf tetapi tidak menjamin seseorang itu literasi.

No comments:

Post a Comment