-Will Richardson
Menulis, Tulisan dan Penulisan merupakan kaedah komunikasi yang maha penting sebelum terciptanya alat seperti telefon, radio ataupun komputer. Walaupun kita sudah mampu berkomunikasi dengan pelbagai cara dan medium, penulisan masih merupakan wahana yang tidak boleh diketepikan atau dipinggirkan lebih-lebih pada abad ke-21 ini.
Perbualan penting melalui talian telefon yang melibatkan sesuatu perjanjian atau urusan, masih perlu disahkan dan dicatat agar tidak berlaku perselisihan faham dan pemahaman yang berbeza tentang perkara yang sama. Oleh itu, apa yang telah dipersetujui melalui komunikasi lisan tetap akan ditulis dalam bentuk tulisan dan disahkan kandungannya.
Jadi, memang tidak dapat kita nafikan bahawa penulisan tetap menjadi wahana penting dalam kehidupan manusia. Sebagai pelajar, penulisan sangat penting kerana jika pelajar banyak menulis, mereka berupaya berkomunikasi dengan jelas dan bermakna dalam bentuk tulisan.
Tujuan kita menulis adalah pelbagai. Kadang-kadang kita menulis untuk berkongsi idea, maklumat dan pendapat. Pada masa lain pula, kita menulis dengan tujuan penulisan kita akan mempengaruhi pemikiran dan perlakuan orang lain.
Kita menulis setiap hari untuk membolehkan kita dan membantu kita untuk mengingat, memerhati, berfikir dan berkomunikasi dengan orang lain.
Akibat penulisan inilah, saya masih ingat akan isi kandungan pelajaran yang telah saya pelajari beberapa tahun lepas. Semasa saya di tingkatan enam, saya baru belajar membuat nota(slow learner) untuk mata pelajaran yang saya ambil. Pada mulanya, saya banyak menyalin apa yang terdapat dalam buku dan buku rujukan. Nota saya memang panjang lebar sebiji seperti apa yang tercatat dalam buku teks(haha..) cuma banyak menggunakan singkatan atau klitik seperti yg, sgt, byk, mgunakan, blh, dll. Apabila saya membuat nota yang banyak, saya belajar untuk menyingkatkan nota saya dan saya sudah pandai menggunakan mnemonik dalam nota saya. Teknik ini banyak membantu saya mengingat fakta-fakta sejarah Islam tentang Zaman Nabi Muhammad s.a.w dan Zaman Khalifah Al-Rasyidin, Zaman Bani Umaiyah, Zaman Abbasiyah dan lain-lain.
Sebenarnya, apabila kita menulis atau membuat nota. Kita membaca dan mengingat apa yang kita baca apabila kita menulis semula dengan ayat sendiri. Pembacaan kita dikukuhkan dengan penulisan kerana kita baca, dengar, tulis dan lihat. Walaupun, tugasnya bukan mudah dan memakan masa tetapi memang berbaloi dalam membantu kita belajar.
No comments:
Post a Comment