Saturday, February 14, 2009

Masalah Penulisan Karangan (samb..)

Berkenaan dengan masalah penulisan karangan dalam kalangan pelajar-pelajar, terdapat seribu satu faktor dan sebabnya. Daripada pengalaman mengajar selama 13 tahun di sekolah jenis kebangsaan, mungkin terdapat perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar. Saja ingin berkongsi pengalaman.

1. Kurang mempraktikkan bahasa
Pelajar bukan Melayu di kawasan bandar kecil didapati kurang menggunakan Bahasa Melayu sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah. Jika hendak menguasai sesuatu bahasa, perlulah kita menggunakannya dalam kehidupan seharian kita. Saya bernasib baik kerana mampu menguasai bahasa ini, walaupun bukan 100% sempurna tetapi ala-ala Phang Chinn Fei dan Michelle Wee. Hal ini adalah disebabkan sejak kecil saya mendengar lagu Melayu. Masih dalam ingatan pada masa itu lagu-lagu Allahyarham Sudirman, Datuk Sharifah Aini, Alleycats, D.J. Dave, Raja Ema, Uji Rashid memang popular, kami ada album penyanyi-penyanyi ini. Masa tu, saya masih di sekolah rendah, kaset-kaset ini dibeli oleh kakak. Daripada situlah, kami adik-beradik memang fasih berbahasa Melayu. Kakak pernah memenangi peraduan menulis cerpen di sekolah, saya pula menang peraduan menulis sajak. Mungkin kalau terjumpa sajak saya tu, bolehlah saya poskan di sini.

2. Kurang membaca dalam Bahasa Melayu
Kebanyakan pelajar saya boleh dikatakan 99% berbangsa Cina, kalau kelas yang baik memang boleh tahan penulisan mereka tu, hingga ada yang memang menonjol dalam penulisan. Senario yang berbeza berlaku di kelas yang sederhan dan lemah. Apabila ditanya tentang sesuatu isu, mereka tidak mampu memberikan apa-apa maklumat, sebenarnya kalau dijelaskan lagi mereka akan faham cuma tidak dapat menyampaikannya dalam Bahasa Melayu. Prinsip saya, apabila berkomunikasi dengan pelajar saya, sama ada di kawasan sekolah atau kawasan luar sekolah memang dalam Bahasa Melayu. Pelajar-pelajar dari kelas baik memang tahu akan bahasa yang perlu digunakan oleh mereka jika ingin bertanya soalan. Saya selalu memberitahu pelajar saya pada hari pertama saya masuk ke kelas bahawa saya tidak tahu berbahasa Mandarin. Budak-budak ini percaya 100%, sampai hari ini masih ramai yang tidak tahu bahawa saya boleh berbahasa Mandarin(ha..ha, pembohongan dengan niat yang tulus ikhlas dengan kebaikan mereka jugak). Orang luar memang akan memandang ke arah saya dan anak murid saya apabila kami berbual sama ada apabila terserempak di pasar raya, pasar malam atau mana-mana saja sebab kami berbual dalam Bahasa Melayu.


sambung lagi...

No comments:

Post a Comment