Monday, February 23, 2009

Thesis Versi Bahasa Melayu

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Tajuk:

Blogs: Satu Platform untuk Penulisan Karangan

Bab 1 Pengenalan

1.1 Pendahuluan

Pelajar hari ini merupakan modal insan untuk pasaran ekonomi berasaskan pengetahuan pada abad ke-21. Sebagai pendidik, kita perlu menyediakan pelajar kita untuk pasaran abad ke-21 ini. Oleh sebab itu, kita perlu mendedahkan dan membekalkan pelajar kita dengan kemahiran teknologi internet 2.0 agar mereka dapat berkolaborasi dalam persekitaran global. Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang begitu pesat telah mengubah cara penggunaan intenet melayari internet.

Dengan teknologi web 2.0, pengguna internet tidak lagi menjadi pengguna yang pasif seperti mendapatkan maklumat dan membaca berita di laman web. Pengguna internet boleh menjadi penyumbang dan berkolaborasi dengan komuniti internet yang tanpa sempadan. Laman-laman web hasil perkembangan teknologi Web 2.0 adalah seperti podcasts, wiki’s, blog dan Google docs. Weblogs atau singkatannya Blogs begitu popular dan mendapat perhatian daripada pengguna internet. Penggunaan blogs begitu popular sekali. Jumlah blogs yang dibina setiap hari Dengan menggunakan blogs, kita boleh membaca, menulis dan menerbitkan hasil penulisan kita di internet dan kepada bilangan pembaca yang lebih luas.

Apa yang menjadikan pembinaan blogs begitu menarik adalah pengguna boleh membinanya tanpa perlu membuat bayaran jika menggunakan perisian pembinaan blogs yang percuma yang dihoskan oleh beberapa buah syarikat perisian blog di internet seperti Blogger.com, LiveJournal, MySpace, WordPress.com dan lain-lain lagi.

Definisi Weblogs atau Blogs

Weblogs atau blogs merupakan laman jurnal peribadi atau laman yang mudah dibina dengan menggunakan antaramuka grafik pengguna atau GUI(Graphical User Interface) yang disediakan dalam perisian blogs tanpa mempunyai sebarang pengetahuan dalam bahasa pengaturcaraan dan kepakaran teknikal. (Blood, 2002b:12) Weblog paling tepat didefinisikan sebagai “ satu laman web yang kerap dikemaskini, dengan bahan baharu diposkan pada bahagain atas laman. Theresa Ross Embrey (2002) dalam Teacher Librarian Disember 2002 mendefinisikan Weblogs adalah penggabungan antara sebuah diari, laman web dan komuniti dalam talian. Weblogs atau secara singkat Blogs bermula sebagai laman web yang menyenaraikan pautan pada nota kaki sesautu laman web ke laman web yang lain yang mengandungi kandungan yang menarik, melucukan, menimbulkan rasa ingin tahu, dan atau secara umumnya kandugan yang menakjubkan oleh penerbit blogs( Lankshear & Knobel, 2003). Ciri umum sebuah laman blogs adalahmengandungi “satu laman utama yang diakses oleh masyarakat dunia, disusun dalam bentuk kedudukan kronologi yang terbalik, mengandungi pautan ke blogs atau laman web, dan ditulis oleh seorang penulis.” (Guenther, 2005) Blogs adalah satu perisian penerbitan blog yang membenarkan penggunaan untuk membina dan mengedit kandugan laman web dengan kemahiran teknikal yang minimum(Holtz, 2006). Secara teknikal, blogs juga dikenali sebagai Sistem Pengurusan Kandungan atau singkatannya CMS(Content Management Systems). Sebagai CMS, blog membenarkan penulis menerbitkan dan menguruskan kandungan pada laman tertentu tanpa keperluan untuk berdepan dengan kod program.(Tan, 2008).

Blogs dalam Pendidikan

Teknologi Web 2.0 merupakan teknologi terkini dan penting untuk para pendidik berupaya menggunakan teknologi ini dan memahami kesan gelombang teknologi ini terhadap masyarakat dan masa depan kita. Blogs merupakan satu platform, satu alat, dan satu medium dalam dunia pendidikan. Sebagai platform, blogs boleh digunakan oleh pendidik to membina satu ruang dalam laman web untuk pelajar-pelajarnya menghantar kerja rumah mereka, tugasan dan hasil penulisan mereka. Sebagai alat, blogs boleh digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam bilik darjah mahupun di luar kawasan bilik darjah. Sebagai medium, blogs digunakan untuk membolehkan interaksi, komunikasi dan kolaborasi antara guru dengan pelajar malah dengan pengguna internet di seluruh dunia.

Blogs mempunyai beberapa aplikasi yang boleh digunakan dalam bidang pendidikan dan khusunya dalam konteks sekolah(Clyde, 2005) Pendidik agak lambat mengintegrasikan blogs dalam bidang pendidikan atas beberapa sebab. Namun, disebabkan semakin ramai pengguna internet membina blogs, semakin ramailah guru dan sekolah mula mencuba teknologi ini untuk berkomunkasi dengan pelajar dan ibu bapa.(Richardson, 2004).

Wiley and Martindale (2005) blogs dalam instruksi akan memberi pelajar peluang yang tidak pernah wujud dahulu. Kemahiran khusus tidak diperlukan untuk membina laman web, hal ini menggalakkan orang ramai di mana-mana sahaja untuk menghasilkan kandungan dalam talian seperti yang dinyatakan oleh Maloney (2007).

Read (2006) menjelaskan bahawa motivasi memupuk minat yang bertukar menjadikan pengalaman bertulis secara efektif. Dalam kajiannya, Read telah menganalisis 6 blogs remaja dengan menggunakan Hierarki Keperluan Maslow. Beliau menyatakan bahawa dengan menganalisis 6 laman blogs remaja, beliau mendapati bahawa proses penulisan dalam blogs membantu pelajar menjadi penulis dan meningkatkan kemahiran teknologi mereka, apatlah lagi kepada mereka yang memang berasa keberatan untuk menulis.

Penulisan Karangan

Menulis karangan ialah satu proses pemilihan, mencantum, menyusun atur dan mengembangkan buah fikiran di dalam bentuk ayat yang berkesan, berperenggan dan dalam unit wacana yang lebih panjang. Karangan menurut Kamus Dewan (1996,577) membawa maksud ciptaan atau rekaan. Menurut Za’ba(1952) yg dipetik oleh Kamaruddin Hj Husin (1998), karangan adalah hasil daripada kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkaian kata-kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Beliau menegaskan bahawa sesebuah karangan mengandungi ayat-ayat yang telah digubah atau disusun untuk dijadikan cerita, laporan, penerangan dan sebagainya. Sementara pendapat Lado(1964), Broto(1974), Bullock(1975) dan Ishak Haron (1979) mengatakan karangan bukanlah sekadar hasil kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata dan ayat biasa sahaja, tetapi merupakan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan sebagainya yang terdapat dalam pemikiran manusia(pengarang atau penulis) melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa(Kamaruddin Hj Husin ,1998) Aspek yang paling penting dalam gerak kerja penulisan ialah menulis karangan. Penulisan karangan merupakan tingkat tertinggi kemahiran berbahasa iaitu kemahiran bahasa tulisan. Sebahagian besar daripada pendidikan formal memerlukan aktiviti-aktiviti menulis dan mengarang dalam menyampaikan maklumat, pendapat, idea, fakta dan sebagainya. Mengarang penting dalam kehidupan seharian bagi melicinkan perhubungan formal dalam bentuk surat-menyurat, pernyataan, laporan, perasaan dan aktiviiti penulisan yang lain sama ada alam bentuk penulisan kreatif dan ilmiah( Kamaruddin Hj Husin, 1988).

Karangan adalah satu pelajaran yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah. Penulisan karangan melibatkan kemahiran menulis. Kemahiran Menulis merupakan tingkat tertinggi kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh pelajar. Kemahiran menulis dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merujuk kepada keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.

Huraian Sukatan Pelajaran, mencatatkan 2 elemen utama yang perlu dikuasai oleh pelajar dalam pembelajaran Bahasa Melayu iaitu penggunaan dan kemahiran bahasa. Penggunaan bahasa dalam Huraiaan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merangkumi tiga bidang utama iaitu bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik, manakala kemahiran bahasa pula meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

Isahak Haron(1979) berpendapat kemahiran menulis (karangan) adalah mustahak dalam kegiatan-kegiatan pendidikan formal kerana kebanyakan jawapan dalam ujian dan peperiksaan rasmi adalah memerlukan pengucapan idea, pendapat, fakta dan lain-lainnya disampaikan melalui kemahiran bahasa tulisan yagn sifat bahasanya adalah formal. Mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di sekolah mengambil kira tiga kemahiran yang utama iaitu lisan, bacaan dan penulisan. Pengajaran lisan dan bacaan tidak begitu menimbulkan masalah kerana bahan-bahan teks untuk pengajaran tersebut telah sedia ada dan murid-murid hanya perlu membuat rujukan sahaja. Sebaliknya dalam penulisan, guru menghadapi masalah kerana murid-murid perlu menampilkan idea sendiri dengan bantuan guru dan murid tidak pula berusaha untuk menulis karangan dengan baik. (Kamaruddin Hj Husin, 1988)

No comments:

Post a Comment