Penulisan Karangan
Menulis karangan ialah satu proses pemilihan, mencantum, menyusun atur dan mengembangkan buah fikiran di dalam bentuk ayat yang berkesan, berperenggan dan dalam unit wacana yang lebih panjang. Karangan menurut Kamus Dewan (1996,577) membawa maksud ciptaan atau rekaan. Menurut Za’ba(1952) yg dipetik oleh Kamaruddin Hj Husin (1998), karangan adalah hasil daripada kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkaian kata-kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Beliau menegaskan bahawa sesebuah karangan mengandungi ayat-ayat yang telah digubah atau disusun untuk dijadikan cerita, laporan, penerangan dan sebagainya. Sementara pendapat Lado(1964), Broto(1974), Bullock(1975) dan Ishak Haron (1979) mengatakan karangan bukanlah sekadar hasil kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata dan ayat biasa sahaja, tetapi merupakan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan sebagainya yang terdapat dalam pemikiran manusia(pengarang atau penulis) melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa(Kamaruddin Hj Husin ,1998) Aspek yang paling penting dalam gerak kerja penulisan ialah menulis karangan. Penulisan karangan merupakan tingkat tertinggi kemahiran berbahasa iaitu kemahiran bahasa tulisan. Sebahagian besar daripada pendidikan formal memerlukan aktiviti-aktiviti menulis dan mengarang dalam menyampaikan maklumat, pendapat, idea, fakta dan sebagainya. Mengarang penting dalam kehidupan seharian bagi melicinkan perhubungan formal dalam bentuk surat-menyurat, pernyataan, laporan, perasaan dan aktiviiti penulisan yang lain sama ada alam bentuk penulisan kreatif dan ilmiah( Kamaruddin Hj Husin, 1988).
Karangan adalah satu pelajaran yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah. Penulisan karangan melibatkan kemahiran menulis. Kemahiran Menulis merupakan tingkat tertinggi kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh pelajar. Kemahiran menulis dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merujuk kepada keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.
Huraian Sukatan Pelajaran, mencatatkan 2 elemen utama yang perlu dikuasai oleh pelajar dalam pembelajaran Bahasa Melayu iaitu penggunaan dan kemahiran bahasa. Penggunaan bahasa dalam Huraiaan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merangkumi tiga bidang utama iaitu bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik, manakala kemahiran bahasa pula meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.
Isahak Haron(1979) berpendapat kemahiran menulis (karangan) adalah mustahak dalam kegiatan-kegiatan pendidikan formal kerana kebanyakan jawapan dalam ujian dan peperiksaan rasmi adalah memerlukan pengucapan idea, pendapat, fakta dan lain-lainnya disampaikan melalui kemahiran bahasa tulisan yagn sifat bahasanya adalah formal. Mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di sekolah mengambil kira tiga kemahiran yang utama iaitu lisan, bacaan dan penulisan. Pengajaran lisan dan bacaan tidak begitu menimbulkan masalah kerana bahan-bahan teks untuk pengajaran tersebut telah sedia ada dan murid-murid hanya perlu membuat rujukan sahaja. Sebaliknya dalam penulisan, guru menghadapi masalah kerana murid-murid perlu menampilkan idea sendiri dengan bantuan guru dan murid tidak pula berusaha untuk menulis karangan dengan baik. (Kamaruddin Hj Husin, 1988)
No comments:
Post a Comment