Tuesday, March 31, 2009

Anak Bertuah/Anak Istimewa

Anak-anak sekarang memang bertuah, tidak tahu apa ertinya kemiskinan, kesusahan. Hidup dengan senang, malah ada orang gaji. Hinggakan ada yang tidak pernah membasuh pinggan atau mangkuk. Nak minum air, cakap aje, orang gaji akan bawakan. Apatah lagi, basuh baju, kasut sekolah, sapu lantai, lap lantai, tingkap. Anak bertuah tidak perlu membuat semua ini.

Anak istimewa, tidak dapat melakukan kebanyakan kerja yang dinyatakan di atas tetapi mereka berusaha mempelajari membuat semua ini kerana tidak mahu bergantung kepada orang lain(mereka perlu belajar berdikari) walaupun kurang upaya tetapi mampu melakukan kerja dengan baik, tidak keterlaluan mengatakan bahawa kerja mereka lebih baik daripada anak bertuah.

Jadi, sebagai ibu saya amat bimbang akan pertumbuhan anak saya, usianya baru 24 bulan. saya berharap dia akan menjadi anak bertuah yang berdikari . Saya sudah merancang untuk melatihnya membuat semua kerja rumah, menyapu, melipat baju, mop lantai, basuh kasut sekolah sendiri dan lain-lain. Malah saya akan membawanya untuk membuat kerja amal, melawat ke rumah anak-anak yatim, rumah orang kurang upaya dan orang-orang tua agar dia akan sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang dimilikinya dan akan sentiasa membantu mereka yang kurang upaya.

Sebenarnya kerja-kerja di rumah ini patut dilakukan oleh anak-anak. Itu yang dilakukan oleh kita ibu bapa pada masa kita kecil tetapi sekarang ramai ibu bapa tidak lagi membiarkan anak membuat kerja-kerja ini. Apa yang membimbangkan adalah kenyataan oleh Ketua Polis Negara bahawa peningkatan jenayah oleh remaja yang berusia 13-18. Apakah jenis jenayah yang dilakukan oleh remaja ini? Apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian? Mat rempit, hidu gam, hisap rokok, tidak hairan jika dikaitkan dengan remaja, tetapi kini remaja ini sudah berani menculik. Apa sudah jadi?

Sunday, March 29, 2009

Ledakan Maklumat

Maklumat, Ilmu ada di mana-mana sahaja, jika ada talian internet, pada bila-bila masa, di mana jua, kita bisa memperoleh maklumat dengan mudah tanpa membawa buku yang setebal buku panduan telefon. Tapak sesawang ini kurang dimanfaatkan oleh pelajar kita. Ramai yang mengetahui bahawa mereka boleh memperoleh maklumat dalam laman web tetapi acapkali apabila melayari internet, yang dicari gossip, berita hiburan, artis, permainan internet, chat, friendster, facebook, tidak kurang juga laman web yang lucah yang menjadi pilihan.
Maklumat yang bermanfaat yang berkait dengan pembelajaran kurang dilayari. Adakah disebabkan mereka tidak mengetahui cara untuk memperoleh maklumat seperti ini yang boleh membantu mereka dalam penulisan karangan, membuat projek sains, menjadi kreatif.
Patutlah sekolah mengadakan pertandingan reka cipta , reka bentuk sama ada bahasa(puisi, drama, pantun, pidato, poster, elektronik, dan design kotak ke, botol ke, atau apa jua barangan supaya pelajar lebih mengaplikasikan apa yang dipelajari dan cuba menggunakan sumber internet dalam membantu mereka membuat rekaan dan ciptaan. Bukankah itu lebih menyeronokkan?
Banyak lagi sekolah yang terikat dan terlalu mementingkan pencapaian akademik, sehinggakan kita lupa bahawa bukan semua pelajar mampu memperoleh kejayaan dalam bidang akademik, ada yang mempunyai kecerdasan dalam bidang lain yang bukan akademik.

Satu Suara/Suara Remaja

Tertarik dengan iklan yang disiarkan baru-baru ini yang menyeru belia menyertai persatuan yang bermanfaat. Rasanya pihak yang tertentu sudah sedar dan tahu bahawa masalah remaja dan belia sudah tiba masanya diberi perhatian dan panduan agar mereka memilih aktiviti yang berfaedah.
Kalau melihat kepada keadaan pelajar-pelajar di sekolah, mungkin satu kajian perlu dijalankan untuk mengetahui apa sebenarnya dilakukan oleh pelajar ini setelah meninggalkan kawasan sekolah.Walaupun ramai yang akan menghadiri kelas tuisyen tetapi tidak ramai juga yang melepak sambil menghisap rokok di mana-mana sahaja dengan berpakaian seragam dan tanpa rasa segan silu cuba menarik perhatian. Pertuturan mereka sungguh membingitkan telinga : Weh, Blah.
Gelagat anak-anak murid di sekolah jelas menunjukkan betapa remaja sekarang memandang pendidikan atau institusi sekolah sebagai tempat yang membelenggu kebebasan mereka. Sekolah bukan tempat untuk mereka menimba ilmu tetapi untuk menghabiskan masa kerana ramai yang mengatakan bahawa mereka datang ke sekolah kerana disuruh oleh ibu bapa. Walaupun bukan semua pelajar yang sebegitu rupa. Hakikatnya, sesuatu perlu dilakukan atau diusahakan sebelum nasi menjadi bubur.

Thursday, March 26, 2009

Kolaborasi dengan Guru Pelatih UPSI/ Penulisan Merentasi Kurikulum

Penulisan merentasi kurikulum.Oleh sebab saya sedang membuat kajian tentang penulisan karangan pelajar sekolah, timbul satu idea untuk berkolaborasi dengan guru pelatih UPSI major Bahasa Melayu dalam penulisan karangan melalui dengan blog sebagai platformnya.
Banyak kajian menunjukkan bahawa kualiti dan kuantiti penulisan pelajar meningkat apabila pelajar menulis untuk audien yang lebih luas, bukan setakat untuk pensyarah dan guru mereka sahaja. Pembimbing rakan sebaya (Peer Tutoring) juga merupakan satu aspek yang mampu membantu pelajar belajar dan menulis.
Saya mendapati bahawa sekolah menengah di Barat banyak berkolaborasi dengan pelajar-pelajar kolej atau mahasiswa dari universiti-universiti untuk membantu pelajar dalam penulisan. Terutamanya guru pelatih, mereka mendapat pengalaman untuk menilai, memberi komen dan seterusnya membantu pelajar sekolah ini membaiki penulisan mereka. Kolaborasi ini sungguh bijak untuk memberi pengalaman sebenarnya kepada guru pelatih sebelum mereka bertugas sebagai guru sebenar di sekolah. Pengalaman seperti ini sememangnya membantu pelajar untuk mengetahui dan bersedia menghadapi keadaan sebenar dan memahami permasalahan pelajar dalam penulisan.

Di Barat, penulisan diberikan keutamaan dalam semua mata pelajaran termasuk mata pelajaran seperti Matematik. Pelajar dilatih berkomunikasi secara oral dan dengan kata. "Beginning in 2005, both the SAT and ACT will include a writing section on their exams" memperlihatkan betapa pentingnya penulisan.
Jika anda berminat bacalah "Writing Across Curriculum".

Tuesday, March 24, 2009

Proposal Kajian Versi MAC 09

Bab 1 Pengenalan

1.1 Pendahuluan

Perkembangan teknologi web 2.0 telah menpengaruhi dan mengubah cara penggunaan laman web oleh pengguna. Perkongsian dan komunikasi antara pengguna web menjadi mudah dan efisien. Seperti kata John Thompson “if Web 1.0 was a read-only medium, today’s Web 2.0 is read/write. Sebagai pendidik, kita perlu mengikuti perkembangan teknologi ini dan menjadi pengguna teknologi ini supaya kita mampu mendedahkan dan membekalkan pelajar kita dengan kemahiran teknologi web 2.0. Teknologi web 2.0 telah menyediakan dan meningkatkan perkongsian, kolaborasi dan komunikasi pengguna web. Bartlett (2005) menyatakan bahawa “education may not be a location anymore – it will be an activity –discretely embedded in the lifstyles of our learners”. Para pendidik tidak boleh ketinggalan dalam mengaplikasikan dan mengintegrasikan teknologi ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kim Estes, seorang pakar teknologi intruksional di Burleson, Texas mengatakan bahawa Web 2.0 mengalihkan fokus kerja bersendirian kepada usaha kolaborasi, daripada pembelajaran secara individu kepada pengetahuan kolektif, daripada penerimaan secara pasif kepada penciptaan secara kreatif.

Dengan teknologi web 2.0, pengguna internet tidak lagi menjadi pengguna yang pasif seperti mendapatkan maklumat dan membaca berita di laman web. Pengguna internet boleh menjadi penyumbang dan berkolaborasi dengan komuniti internet yang tanpa sempadan. Laman-laman web hasil perkembangan teknologi Web 2.0 adalah seperti podcasts, wiki’s, blog dan Google docs.

Weblog atau singkatannya Blog merupakan suatu bentuk jurnal yang kerap dikemaskini oleh penulis blog bagi tujuan tertentu. Blog semakin popular dan mendapat perhatian daripada pengguna internet. Terdapat pelbagai jenis blog yang ada dalam laman web antaranya blog peribadi, blog komersial, blog persoalan, vlog(blog video), linklog(blog pautan), photoblog(blog gambar), moblog(blogs mobile), blog politik, blog percutian, blog fesyen, dan banyak lagi. Masing-masing dengan cirinya yang tertentu. Dengan menggunakan blog, kita boleh membaca, menulis dan menerbitkan hasil penulisan kita di internet dan kepada bilangan pembaca yang lebih luas. Apa yang menjadikan pembinaan blog begitu menarik adalah pengguna boleh membinanya tanpa perlu membuat bayaran jika menggunakan perkhidmatan perisian pembinaan blog yang percuma yang dihoskan oleh beberapa buah syarikat perisian blog di internet seperti Blogger.com, LiveJournal, MySpace, WordPress.com dan lain-lain lagi.

Definisi Weblogs atau Blogs

Weblogs atau blogs merupakan laman jurnal peribadi atau laman yang mudah dibina dengan menggunakan antaramuka grafik pengguna atau GUI(Graphical User Interface) yang disediakan dalam perisian blog tanpa mempunyai sebarang pengetahuan dalam bahasa pengaturcaraan dan kepakaran teknikal. (Blood, 2002b:12) Weblog paling tepat didefinisikan sebagai “satu laman web yang kerap dikemaskini, dengan bahan baharu diposkan pada bahagain atas laman. Theresa Ross Embrey (2002) dalam Teacher Librarian Disember 2002 mendefinisikan Weblogs adalah penggabungan antara sebuah diari, laman web dan komuniti dalam talian. Weblogs atau secara singkat Blogs bermula sebagai laman web yang menyenaraikan pautan pada nota kaki sesautu laman web ke laman web yang lain yang mengandungi kandungan yang menarik, melucukan, menimbulkan rasa ingin tahu, dan atau secara umumnya kandugan yang menakjubkan oleh penerbit blogs( Lankshear & Knobel, 2003). Ciri umum sebuah laman blogs adalahmengandungi “satu laman utama yang diakses oleh masyarakat dunia, disusun dalam bentuk kedudukan kronologi yang terbalik, mengandungi pautan ke blog atau laman web, dan ditulis oleh seorang penulis.” (Guenther, 2005) Blogs adalah satu perisian penerbitan blog yang membenarkan penggunaan untuk membina dan mengedit kandugan laman web dengan kemahiran teknikal yang minimum(Holtz, 2006). Secara teknikal, blog juga dikenali sebagai Sistem Pengurusan Kandungan atau singkatannya CMS(Content Management Systems). Sebagai CMS, blog membenarkan penulis menerbitkan dan menguruskan kandungan pada laman tertentu tanpa keperluan untuk berdepan dengan kod program.(Tan, 2008).

Blogs dalam Pendidikan

Teknologi Web 2.0 merupakan teknologi terkini dan penting untuk para pendidik berupaya menggunakan teknologi ini dan memahami kesan teknologi ini terhadap masyarakat dan masa depan pelajar kita. Blog berpotensi diaplikasikan dan diintegrasikan dalam pendidikan. Penggunaan dan pengintegrasian blog dalam pendidikan di negara kita masih baru dan kesannya penggunaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu dikaji dengan mendalam. Salah satu potensi penggunaan blog dalam pendidikan adalah kelebihannya menjadi medium komunikasi antara guru dengan murid di dalam dan di luar bilik darjah. Memberi peluang kepada pelajar yang kurang yakin apabila perlu berucap di khalayak ramai peluang menyuarakan pendapat tanpa rasa segan dalam blog melalui penulisan ataupun podcasts.

Jelaslah bahawa blog merupakan satu platform, satu alat, dan satu medium dalam dunia pendidikan. Sebagai platform, blog boleh digunakan oleh pendidik untuk membina satu ruang dalam laman web untuk pelajar-pelajarnya menghantar kerja rumah mereka, tugasan dan hasil penulisan mereka. Sebagai alat, blog boleh digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam bilik darjah mahupun di luar kawasan bilik darjah. Sebagai medium, blog digunakan untuk membolehkan interaksi, komunikasi dan kolaborasi antara guru dengan pelajar malah dengan pengguna internet di seluruh dunia.

Blog mempunyai beberapa aplikasi yang boleh digunakan dalam bidang pendidikan dan khusunya dalam konteks sekolah(Clyde, 2005). Pendidik agak lambat mengintegrasikan blog dalam bidang pendidikan atas beberapa sebab. Namun, disebabkan semakin ramai pengguna internet membina blog, semakin ramailah guru dan sekolah mula mencuba teknologi ini untuk berkomunkasi dengan pelajar dan ibu bapa.(Richardson, 2004).

Wiley and Martindale (2005) blog dalam instruksi akan memberi pelajar peluang yang tidak pernah wujud dahulu. Kemahiran khusus tidak diperlukan untuk membina laman web, hal ini menggalakkan orang ramai di mana-mana sahaja untuk menghasilkan kandungan dalam talian seperti yang dinyatakan oleh Maloney (2007).

Read (2006) menjelaskan bahawa motivasi memupuk minat yang bertukar menjadikan pengalaman bertulis secara efektif. Dalam kajiannya, Read telah menganalisis 6 blog remaja dengan menggunakan Hierarki Keperluan Maslow. Beliau menyatakan bahawa dengan menganalisis 6 laman blog remaja, beliau mendapati bahawa proses penulisan dalam blog membantu pelajar menjadi penulis dan meningkatkan kemahiran teknologi mereka, apatlah lagi kepada mereka yang memang berasa keberatan untuk menulis.

1.2 Tujuan kajian

Kajian ini bertujuan untuk :

i) menguji pencapaian penulisan karangan pelajar apabila menggunakan blog.

ii) mengkaji sama ada terdapat peningkatan kemahiran menulis (ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas) dengan menggunakan blog.

iii) menggalakkan pelajar lebih kerap menulis dalam Bahasa Melayu

Soalan kajian

i. Bagaimanakah pencapaian pelajar dalam penulisan karangan menggunakan blog

ii. Adakah terdapat perbezaan markah yang signifikan sebelum dan selepas menggunakan blog

iii. Adakah terdapat perbezaan markah yang signifikan antara pelajar kumpulan rawatan yang menggunakan blog dengan kumpulan kawalan yang menggunakan kaedah biasa.

iv. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara blog dengan pencapaian penulisan karangan

v. Adakah terdapat peningkatan kemahiran menulis (ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas) karangan pelajar selepas menggunakan blog

vi. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dari segi kemahiran menulis (ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas)pelajar selepas menggunakan blog.

vii. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran menulis antara pelajar kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan.

viii. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara penggunaan blog dengan kemahiran menulis

ix. Adakah penggunaan blog menggalakkan pelajar menulis dengan kerap dalam Bahasa Melayu

x. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan kerkerapan menulis pelajar dalam Bahasa Melayu selepasa menggunakan blog

xi. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara kekerapan menulis antara pelajar kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan

xii. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara penggunaan blog dengan kekerapan menulis

Hipotesis Kajian:

1. Penggunaan blog meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam penulisan karangan

2. Penggunaan blog meningkatkan kemahiran menulis pelajar

3. Penggunaan blog meningkatkan kekerapan pelajar menulis dalam Bahasa Melayu

1.3. Penyataan masalah

Seseorang itu dikatakan buta huruf apabila tidak menguasai Kemahiran 3M iaitu Membaca, Mengira dan Menulis. Oleh sebab itu, Menulis merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh semua orang di dunia ini. Banyak kajian mendapati pelajar menghadapi masalah dalam penulisan.

Applebee, Langer, and Mullis (1986) Dari tahun 1986, The National Assessment of Educational Progress (NAEP) Amerika melaporkan tidak sampai satu perlima penulisan pelajar adalah memuaskan. Kebanyakan pelajar menghadapi masalah menyusun pandangan dalam penulisan dan tidak dapat “mengekspresi diri dengan baik untuk memastikan penulisan mereka disiapkan mengikut tujuan yang telah ditetapkan. Hari ini, menulis terus menjadi kelemahan paling ketara pelajar-pelajar sekolah menengah. Walaupun skor pencapaian standard telah meningkat dalam beberapa aspek, penulisan yang lemah terus menjadi masalah yang menonjol. Pada 2002, NAEP melaporkan bahawa hanya 21-34 peratus pelajar yang pencapaian penulisan mereka adalah pada dan melebihi tahap kecekapan. Presiden Jabatan Pelajaran Michigan di Amerika Syarikat, Kathlenn N. Strauss menekankan kepentingan penulisan pelajaran dengan menyatakan bahawa “ untuk berjaya dalam ekonomi global pada abad ke-21, anak-anak kita mesti sedar akan dunia di sekeliling mereka dan berupaya untuk menyampaikan pandangan dan idea mereka secara berkesan(Ackley, 2004).

Kementerian Pelajaran New Zealand melaporkan kemahiran menulis pelajar-pelajar sekolah menengah tidak lebih baik daripada penulisan kebanyakan pelajar sekolah rendah. Tambahan pula, Pelajar bukan Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa ibunda mereka ketika menulis dalam bahasa kedua iaitu Bahasa Melayu. Qi(2007) mendapati masalah yang sama berlaku kepada pelajar Cina ketika belajar Bahasa Inggeris. Beliau menyatakan bahawa apabila pelajar menulis, mereka cenderung memikirkannya dalam bahasa Cina, kemudian mereka akan tulis apa yang difikirkan ke dalam bahasa Inggeris, kata demi kata, ayat demi ayat. Asmah Hj Omar (1970) berpendapat bahawa penggunaan bahasa secara formal sama ada bahasa lisan mahupun bahasa tulisan adalah penggunaan bahasa standard. Dalam hal ini maka kesalahan bahasa boleh berlaku dalam karangan pelajar bahasa pertama kerana kelemahan mereka menggunakan ciri-ciri standard di samping kelemahan-kelemahan yang lain. Bagi pelajar bahasa kedua, jenis-jenis kesalahannya adalah lebih rumit lagi.

Kekangan utama yang dihadapi oleh pelajar dalam mempraktikkan kemahiran bahasa yang dipelajari di sekolah, Hal ini mungkin disebabkan tidak satu medium untuk membolehkan mereka menggunakan kemahiran bahasa yang dipelajari. Terutamanya pelajar bukan Melayu, mereka didapati kurang membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Kajian telah dijalankan oleh Chui Jin Lian(2000) dalam kajiannya “Masalah Penguasaan Kemahiran Menulis di Kalangan Murid-murid Cina Tahun 5 di SRJK(C)” mendapati lebih daripada 70% pelajar tidak berminat untuk membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Tay(2003) dalam kajiannya “ Satu Tinjauan terhadap Sikap dan Masalah Guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan” mendapati 87% masalah pembelajaran Bahasa Melayu oleh pelajar ialah pengaruh bahasa ibunda/dialek, 84.8% pelajar tidak berminat belajar Bahasa Melayu.

Hal ini mungkin disebabkan kurang platform untuk mereka melatih kemahiran menulis selain karangan yang diberikan oleh guru. Tambahan pula, penulisan mereka hanya disemak oleh guru mereka sahaja dan mendapat maklum balas dan komen daripada guru sahaja. Apatah lagi, adalah sukar untuk guru menyemak dengan teliti keseluruhan karangan pelajar. Sebanyak 130 markah diperuntukkan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu SPM iaitu penulisan karangan. Pelajar dikehendaki menulis 2 buah karangan, Bahagian A: Karangan Berpandu (30m) dengan jumlah perkataan tidak kurang daripada 250 patah perkataan dan Bahagian B: Karangan Biasa (100m)dengan panjang karangan tidak kurang daripada 350 patah perkataan.. Memandangkan penulisan karangan menyumbangkan markah yang banyak dalam peperiksaan Bahasa Melayu SPM, jadi adalah penting untuk pelajaran menguasai kemahiran menulis.

Keputusan Mata Pelajaran Bahasa Melayu Peperiksaan PMR 2005-2008

Tahun

A

B

C

D

ABCD

E

Bil

%

Bil

%

Bil

%

Bil

%

Bil

%

Bil

%

2004

6

2.2

41

15.2

56

20.7

71

26.3

174

64.4

96

35.6

2005

17

8.06

46

21.80

60

28.44

47

22.27

170

80.57

41

19.43

2006

15

6.58

51

22.37

44

19.30

39

17.11

149

65.35

79

34.65

2007

21

11.05

41

21.85

41

21.85

39

20.85

142

74.74

48

25.26

2008

19

8.76

42

19.35

38

17.51

51

23.5

150

69.12

67

30.88

1.4. Kepentingan kajian

Penulisan dan kemahiran menulis dalam Bahasa Melayu amat penting kerana kelulusan dalam Bahasa Melayu menjamin pelajar akan mendapat Sijil SPM, jika tidak, pelajar-pelajar tidak layak mendapat Sijil SPM jika gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran menulis amat penting untuk menjawab soalan peperiksaan bukan sahaja dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, malah hampir kesemua mata pelajaran sebelum pelaksanaan PPSMI(Pengajaran dan Pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris) terutama ketika menjawab soalan jenis esei. Kemahiran menulis semakin penting pada peringkat pengajian tinggi. Seperti kata Donn Byrne (1921)

“Writing, on the other hand, is learnt through a process of instruction. We have to master the written form of the language and to learn certain structures which are less used in speech, or perhaps not used at all, but which are important for effective communication in writing”

Penggunaan blogs jika berjaya meningkatkan kekerapan, pencapaian dan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar-pelajar, maka kaedah ini boleh disarankan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Platform baru untuk pelajar-pelajar menulis dengan lebih kerap selain karangan yang diberikan oleh guru. Selain menyediakan pelajar untuk menghadapi corak penulisan akademik dan kemahiran menulis yang lebih rumit pada masa akan datang agar mereka dapat menyampaikan idea, pendapat dan berkomunikasi secara berkesan dengan penulisan. Zaini(2007). Seseorang ilmuan menjadi tersohor disebabkan sumabngan yang tersurat dalam bentuk penulisan yang dinilai rakan sepakaran kemudian diterbitkan. Kita mengenali Al-Ghazali, Ibnu Sina, Gelileo, da Vinci serta Einstein kerana sumbangan kesarjanaan mereka menerusi penulisan bermutu tinggi.

1.5 Batasan Kajian

Kajian ini terbatas kepada pelajar-pelajar di SMK Yuk Kwan yang mempunyai keputusan peperiksaan Bahasa Melayu yang sederhana terutama dalam penulisan karangan. Pelajar-pelajar ini dipilih sebagai sampel kajian kerana penyelidik merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah ini.

1.6 Definisi Operasional

Weblogs atau blog –satu platform (percuma dan berbayar) dalam internet yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan hasil penulisan tanpa mempunyai ilmu pengaturcaraan.

Bahasa Melayu- Mata Pelajaran Bahasa Melayu mengikut sukatan pelajaran Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia

Kemahiran menulis - keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.

Karangan- karangan bahan rangsangan dan karangan biasa dengan panjang 350 patah perkataan

Kekerapan – bilangan hasil penulisan tanpa mengira had jumlah perkataan minimum atau maksimum

Ejaan –kaedah dan cara menulis perkataan dengan huruf mengikut Sisterm Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu

Pelajar – pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan A,B dan C dalam peperiksaan PMR

Bab 2 Tinjauan Literatur

2.1 Pendahuluan

Menulis merupakan kemahiran yang amat penting kerana kemahiran ini melibatkan penggunaan simbol-simbol bahasa untuk berkomunikasi. Blog pula merupakan satu platform dalam dunia internet yang membolehkan sesiapa sahaja menyampaikan pandangan, pendapat dan idea sama ada secara bertulis atau melalui penggunaan audio dan video serta grafik. Peluang dan kebebasan untuk menulis ini harus dimanfaatkan. Lebih-lebih lagi jika menulis dengan bahasa kedua yang dipelajari. Menurut Cummins(1984, dalam Gibbons, 2002), kebanyakan pelajar bahasa kedua menghadapi masalah dalam penulisa besar kemungkinan kerana pelajar tidak mahir dalam bahasa ibundanya yang menyebabkan mereka juga menghadapi kesukaran untuk mempelajari bahasa kedua.

2.2 Literatur berkaitan

Penulisan Karangan

Menulis karangan ialah satu proses pemilihan, mencantum, menyusun atur dan mengembangkan buah fikiran di dalam bentuk ayat yang berkesan, berperenggan dan dalam unit wacana yang lebih panjang. Karangan menurut Kamus Dewan (1996,577) membawa maksud ciptaan atau rekaan. Menurut Za’ba(1952) yg dipetik oleh Kamaruddin Hj Husin (1998), karangan adalah hasil daripada kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkaian kata-kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Beliau menegaskan bahawa sesebuah karangan mengandungi ayat-ayat yang telah digubah atau disusun untuk dijadikan cerita, laporan, penerangan dan sebagainya. Sementara pendapat Lado(1964), Broto(1974), Bullock(1975) dan Ishak Haron (1979) mengatakan karangan bukanlah sekadar hasil kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata dan ayat biasa sahaja, tetapi merupakan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan sebagainya yang terdapat dalam pemikiran manusia(pengarang atau penulis) melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa(Kamaruddin Hj Husin ,1998) Aspek yang paling penting dalam gerak kerja penulisan ialah menulis karangan. Penulisan karangan merupakan tingkat tertinggi kemahiran berbahasa iaitu kemahiran bahasa tulisan. Sebahagian besar daripada pendidikan formal memerlukan aktiviti-aktiviti menulis dan mengarang dalam menyampaikan maklumat, pendapat, idea, fakta dan sebagainya. Mengarang penting dalam kehidupan seharian bagi melicinkan perhubungan formal dalam bentuk surat-menyurat, pernyataan, laporan, perasaan dan aktiviiti penulisan yang lain sama ada alam bentuk penulisan kreatif dan ilmiah( Kamaruddin Hj Husin, 1988).

Karangan adalah satu pelajaran yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah. Penulisan karangan melibatkan kemahiran menulis. Kemahiran Menulis merupakan tingkat tertinggi kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh pelajar. Kemahiran menulis dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merujuk kepada keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.

Huraian Sukatan Pelajaran, mencatatkan 2 elemen utama yang perlu dikuasai oleh pelajar dalam pembelajaran Bahasa Melayu iaitu penggunaan dan kemahiran bahasa. Penggunaan bahasa dalam Huraiaan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merangkumi tiga bidang utama iaitu bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik, manakala kemahiran bahasa pula meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

Isahak Haron(1979) berpendapat kemahiran menulis (karangan) adalah mustahak dalam kegiatan-kegiatan pendidikan formal kerana kebanyakan jawapan dalam ujian dan peperiksaan rasmi adalah memerlukan pengucapan idea, pendapat, fakta dan lain-lainnya disampaikan melalui kemahiran bahasa tulisan yagn sifat bahasanya adalah formal. Mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di sekolah mengambil kira tiga kemahiran yang utama iaitu lisan, bacaan dan penulisan. Pengajaran lisan dan bacaan tidak begitu menimbulkan masalah kerana bahan-bahan teks untuk pengajaran tersebut telah sedia ada dan murid-murid hanya perlu membuat rujukan sahaja. Sebaliknya dalam penulisan, guru menghadapi masalah kerana murid-murid perlu menampilkan idea sendiri dengan bantuan guru dan murid tidak pula berusaha untuk menulis karangan dengan baik. (Kamaruddin Hj Husin, 1988).

Blog dalam Penulisan

Di Barat, banyak kajian telah dibuat tentang penggunaan blog dalam penulisan dan proses pengajaran dan pembelajaran. Banyak pendapat telah dikemukakan tentang penggunaan blog dalam penulisan dan kemahiran menulis. Nelson & Fernheimer (2003)Blog boleh digunakan sebagai buku karangan maya pelajar di laman web. Hurlbert (2005).Blog meningkatkan kemahiran menulis, kebolehan kemulisan dengan lebih baik dan mengkayakan kebolehan mengekspresi diri kita dalam bentuk cetakan. Manakala Bernstein (2004) Kerap menulis meningkatkan penulisan, menulis untuk pembaca meningkatkan penulisan, penulisan yang bertujuan meningkatkan penulisan, menulis dengan komputer meningkatkan penulisan. Sloan(2005). Blog menawarkan peluang yang unik untuk pelajar menulis secara konsisten. Guru-guru boleh menggunakan blog untuk mempromosikan penulisan dan menambah kandungan pelajaran mereka dalam mana-mana disiplin pembelajaran sosial. Perbincangan dalam bentuk forum talian mewarisi ciri kurang mengugut daripada perbincangan bersemuka, dan memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap dengan lebih liberal tentang sesuatu topik tanpa berasa bimbang akan pandangan orang lain.

Richardson(2006) mencadangkan bahawa blog ialah alat konstruktivis untuk pembelajaran, pelajar membina pengetahuan, berkongsi idea dan menyemak hasil kerja sesama rakan. Akhirnya, blog mengajar pelajar abad ke-21 kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi global. Martindale & Wiley(2004) mengatakan bahawa pelajar mereka bermotivasi dan sanggup untuk menulis secara kerap dan dengan kejelasan, mengetahui bahawa rakan sekelas dan guru akan membaca blog mereka. Rasa keupayaan dan kawalan penuh terhadap blog sendiri adalah penting dalam menyokong proses penggunaan blog. Beliau juga mendapati bahawa hasil penulisan pelajar bertambah panjang dan lebih malah pelajar menulis lebih daripada yang diminta oleh guru. Tan, Ow Eu, Ho (2005) Blog menyokong pengantarabangsaan pengetahuan dengan membenarkan pelajar melihat kembali penulisan-penulisan dan refleks tentang apa yang telah ditulis oleh mereka dan komen yang diberi oleh rakan sebaya atau guru. Tinjauan literatur mencadangkan blog boleh digunakan secara positif untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa dan muzik. Kennedy(2003) melaporkan tentang pengintegrasian blog dalam kelas bahasa Inggeris di sekolah menengah dan mengatakan bahawa penerbitan web memberi pelajar pembaca yang sebenar and apabila digunakan secara optimum, satu suasana kolaborasi untuk pelajar memberi dan menerima maklum balas, mengajuk cara penulis profesional menggunakan suasana bengkel untuk menghasilkan kraf mereka.(seperti yang dicatat dalam Barlett-Bragg, 2003). Tambahan pula, blog boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran menulis pelajar seperti yang dibincangkan dalam literatur terdahulu (Godwin-Jones, 2003; Hernandez-Ramos,2004; Johnson 2004; Huffaker, 2005). Manakala Wickersham and Chambers(2006) juga mencatatkan bahawa penggunaan portfolio elektronik memindahkan tanggungjawab pembelajaran kepada para pelajar, membenarkan mereka untuk melibatkan diri dan komited sepanjang proses pembelajaran dan dengan itu mengekalkan fokus pada suasana pembelajaran berpusatkan pelajar. Ellison & Wu(2008) Kebanyakan, kemahiran kritikal penulisan adalah seni penggunaan blog yang utama. Hal ini kerana format blog menggalakkan pelajar untuk terlibat dengan kedudukan berlainan daripada mereka sendiri, penggunaan blog berpotensi menggalakkan kemahiran berfikir secaran analitik dan kritik. Pelajar lebih berusaha dalam penulisan mereka jika mereka tahu bahawa mereka menulis untuk pembaca internet dan rakan sebaya, daripada kepada guru sahaja. Hakikatnya, blog mendedahkan pelajar kepada pembaca yang lebih luas untuk penulisan mereka, kita boleh membuat hipotesis bahawa pelajar mungkin lebih memberi perhatian kepada peluang penulisan di talian ( daripada penghantaran buku atau kertas kepada seorang guru) Salah satu usaha awal menceritakan potensi blog dalam bilik darjah ialah artikel Oravec(2002), “Bookmarking the world”. Oravec membahas bahawa perkembangan blog membolehkan pelajar untuk menghasilkan satu suara penulisan dan menjadi lebih analitik dan kritik. Melalui respon yang aktif terhadap bahan dalam internet, pelajar boleh mendefinisikan kedudukan mereka dalam konteks penulisan mereka juga membentuk persepektif mereka dalam isu tertentu. Richardson (2005). Mengalihkan penulisan sebagai produk kepada penulisan sebagai perlakuan/tabiat atau sumbangan. Oleh sebab penggunaan blog, menulis memberikan hasil yang lebih bermakna.

2.3 Kajian berkaitan

Penulisan

Persekitaran bahasa memainkan peranan yang penting dalam pemerolehan bahasa kedua seseorang murid. Keadaan sedemikian dialami oleh pelajar bukan Melayu ketika belajar Bahasa Melayu. Persekitaran bahasa murid-murid bukan Melayu didominasi oleh bahasa ibunda. Bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa harian terutama ketika berkomunikasi dengan individu atau kelompok daripada bangsa yang sama. Bahasa ibunda bukan sahaja digunakan di luar kawasan sekolah malah pada masa kelas Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Pada masa pelajaran bahasa Melayu sedang diajar oleh guru, penggunaan bahasa ibunda masih berleluasa. (Farid M. Onn dan Ajid Che Kob,1981) Zamri &Zarina (2001) pelajar bukan Melayu mempunyai sikap negatif dan kurang berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu terutamanya ketika belajar di dalam dan di luar kelas.

Kajian Jamaludin dan Zamri (1999), mendapati persepsi pelajar terhadap penulisan karangan adalah positif tetapi corak pengajaran guru yang berbentuk atau bersifat satu hala agak mengecewakan para pelajar. Menurut mereka lagi guru kurang membantu mereka untuk melakukan penulisan. Peluang berbincang dengan guru dan rakan sedarjah amat terbatas. Biggs (1999), menyatakan bahawa amat penting untuk menghasilkan pembelajaran yang berkualiti dan untuk itu pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar akan menggalakkan pelajar meneroka sendiri perkara yang hendak dipelajari dan secara tidak langsung meningkatkan daya kreativiti pelajar dalam mengarang.

Penulisan dengan Blog

Wendy Drexler, Kara Dawson dan Richard E. Ferdig (2007). Kajian mendapati bahawa pelajar lebih berminat dalam penulisan apabila mereka mengetahui bahawa hasil penulisan mereka akan diterbitkan untuk tatapan dunia. Kesimpulannya:

1. Sikap pelajar terhadap penulisan bertambah baik

2. Kualiti sampel penulisan bertambah jika dibandingkan dengan sampel penulisan dahulu, juga apabila dibandingkan dengan

3. Pelajar kekal bermotivasi sepanjang sembilan minggu projek menggunakan blog, sebab utama ialah pelajar berasa teruja oleh komen yang diperoleh daripada rakan kolej mereka

Bab 3: Metodologi

3.1 Pendahuluan

Kaedah penyelidikan yang akan digunakan ialah kaedah eksperimental sebenar (True Experimental). Satu kumpulan kawalan dan satu kumpulan rawatan dipilih secara rawak daripada jumlah pelajar Tingkatan 4 yang seramai 210 orang.

3.2 Reka bentuk kajian

Reka bentuk ialah kajian eksperimental pretest and posttest, borang soal selidik

Randomized Subjects, Pretest –Posttest Control Group Design

________________________________________________________________________________

Group Pretest Independent Variable Posttest

(R) E Y1 X Y2

(R) C Y1 - Y2

3.3 Populasi dan sampel kajian

Bilangan pelajar bukan Melayu Tingkatan 4 = 210

Sample kajian seramai 60 orang: 30 kumpulan kawalan dan 30 kumpulan rawatan

3.4 Alat kajian

1. Ujian penulisan pelajar (pretest dan posttest) akan dianalisis mengenal pasti bilangan ayat yang

tidak gramatis, ejaan dan tanda bacaan yang tidak betul.

2. Borang Soal selidik – borang soal selidik merangkumi beberapa aspek

i. latar belakang subjek

ii. pengalaman menggunakan blogs

iii. pengalaman dalam penulisan karangan : kekerapan menulis, persepsi pelajar tentang

penulisan karangan

3. Skor ujian pretest dan posttest penulisan karangan pelajar kawalan dan rawatan.

3.5 Prosedur pengumpulan data

1.Ujian rintis akan dijalankan untuk menguji validity and reliability alat kajian dan konstruk yang

perlu dibaiki

2. Borang soal selidik diedar kepada semua sampel kajian dan dikutip untuk mendapatkan data yang

diperlukan sebelum eksperimen.

3. Markah ujian penulisan karangan akan dicatat untuk pretest bagi kumpulan kawalan dan rawatan.

4. Analisis bilangan kesilapan ayat, ejaan dan tanda baca juga akan dicatat.tamat sesi penulisan

karangan dengan menggunakan blogs dan markah karangan kumpulan kawalan.

5. Borang soal selidik akan diedarkan sekali lagi kepada kumpulan kawalan dan rawatan

3.6 Prosedur penganalisisan data

Ujian Statistik

1. Ujian korelasi Pearson untuk menentukan korelasi antara penggunaan blogs dengan pencapaian penulisan karangan pelajar

2. Ujian korelasi Spearman’s rho untuk menentukan korelasi antara penggunaan blogs dengan kekerapan menulis dan kemahiran menulis karangan

3. Ujian t untuk melihat perbezaan pencapaian penulisan pelajar, perbezaan pencapaian antara kumpulan kawalan dan rawatan dan kemahiran menulis