Thursday, March 5, 2009

Pemarkahan Karangan

Secara umumnya terdapat 2 cara pemarkahan karangan dibuat:
1. holistik - pemarkahan secara umum, tanpa memberi perhatian kepada aspek khusus penulisan karangan seperti isi, tatabahasa, gaya dan lain-lain. Cara ini lebih sesuai digunakan untuk menilai penulisan pelajar di pusat pengajian tinggi kerana pelajar di IPT sepatutnya sudah menguasai kemahiran menulis. Kesilapan bahasa adalah minimum.

2. analisis- permarkahan yang menilai aspek kemahiran menulis seseorang dengan melihat secara terperinci aspek-aspek tertentu. Kaedah ini seharusnya dipraktikkan oleh guru Bahasa Melayu di sekolah menengah. permarkahan seperti ini penting kerana memberi maklum balas kepada pelajar tentang kualiti penulisan mereka dan aspek kelemahan mereka dalam penulisan karangan

Permarkahan perlu diberi untuk aspek-aspek berikut:
1. Pendahuluan-5m
Pendahuluan memberikan gambaran tentang tajuk dan isi karangan
Kesilapan pelajar: biasanya pelajar menyalin tajuk karangan yang ditulis, menyenaraikan isi
karangan, pendahuluan yang panjang lebar

2. Ketepatan isi-10m
Isi yang mencukupi sekurang-kurangnya 5 isi. Isi adalah sesuai dengan kehendak tajuk
karangan
Kelemahan pelajar: biasanya pelajar dapat memberikan isi yang sesuai cuma isi tidak
dikembangkan
3. Penyusunan isi-10m
Isi disusun dengan teratur, dihuraikan dengan dan dikembangkan dengan baik
Kelemahan pelajar: biasanya pelajar campur adukkan isi, contohnya jika pelajar diminta
menulis tentang kebaikan dan keburukan sesuatu atau faktor dan langkah mengatasi sesuatu
masalah. Pelajar akan campur adukkan kebaikan dan keburukan dalam satu perenggan isi,
atau punca dan langkah ditulis dalam satu perenggan isi

4. Tatabahasa-20m
Masalah tatabahasa amat penting dinyatakan dalam karangan pelajar kerana tatabahasa ini
menentukan keseluruhan sesebuah karangan itu baik atau kurang baik
Kelemahan pelajar: kesilapan pelajar yang sangat ketara ialah hukum D-M, imbuhan, kata
sendi, ayat tergantung, penanda wacana dan lain-lain

5. Kosa kata-10m
Penggunaan kata-kata yang sesuai dan tepat untuk tajuk yang ditulis. Penggunaan kosa kata
perlu luas dan pelbagai dan menarik
Kelemahan pelajar: menggunakan kosa kata yang sama, contohnya mengatasi dalam setiap
perenggan. Kosa kata kurang sesuai atau menarik seperti Ibu bapa mempunyai(memainkan)
peranan penting dalam mendidik anak-anak.

6. Ejaan-5m
Ejaan aspek bahasa yang perlu dinilai secara berasingan kerana sepatutnya kesilapan ini
adalah minimal tetapi kebanyakan pelajar menghadapi masalah mengeja sesetengah
perkataan. Kesilapan ejaan ini berulang-ulang walaupun sudah ditegur banyak kali.
Kesilapan umum ejaan pelajar : mengalakkan/menggalakan/mengalakan. berkerja,
mengelakan, keseronokkan, kebanyakkan. dll

7. Tanda baca-5m
tanda baca membolehkan penulisan yang dihasilkan bermakna dan dapat menyampaikan isi
dengan tepat.
Kelemahan pelajar: banyak menggunakan koma dalam ayat, sehingga ayat menjadi terlalu
panjang.

8. Peribahasa-5m
Penggunaan peribahasa dalam karangan kurang kerana penggunaannya harus tepat dan
jika digunakan secara betul boleh memberi nilai tambah kepada penulisan yang dihasilkan.
Kelemahan pelajar: Pelajar jarang menggunakan peribahsa kerana tidak tahu cara
memasukkan peribahasa ke dalam karangan mereka. Bilangan peribahasa yang diketahui
oleh pelajar terhad.

9. Pemerengganan -10m
Pemerenggan juga penting dan harus diberi perhatian. Kesilapan yang dibuat oleh pelajar sama ada perenggan isi terlalu pendek atau terlalu panjang. Begitu juga halnya dengan perenggan pendahuluan dan penutup. Oleh itu, pelajar harus memberi perhatian kepada aspek pemerengganan. Melatih pelajar menulis perenggan isi dalam lebih kurang 7 hingga 8 ayat. Sebenarnya, sebagai guru kita boleh menggunakan pendekatan proses dalam pengajaran penulisan karangan. Melatih setiap bahagian karangan secara berasingan dahulu, baru karangan penuh. Contohnya, melatih pelajar menulis perenggan pendahuluan sehingga mereka didedahkan dengan pelbagai teknik menulis perenggan pendahuluan sebelum ke bahagian isi dan seterusnya.

10. Penutup-5m
Bahagian penutup juga perlu diberi perhatian, kebanyakan pelajar mengulangi apa yang telah ditulis pada perenggan isi. Penutup sepatutnya merupakan kesimpulan tentang keseluruhan karangan yang telah ditulis. Terdapat ramai pelajar yang sentiasa memulakan perenggan penutup dengan perkataan seperti "secara kesimpulannya". Pelajar harus dilatih dan diberi contoh bahagian perenggan penutup yang baik supaya mereka boleh mengajuk cara penulisan penutup yang mantap daripada mengulangi apa yang telah ditulis pada perenggan isi atau pendahuluan

No comments:

Post a Comment