Sesuatu penulisan yang baik memerlukan kemahiran untuk menyambung ayat agar dapat menggambarkan idea dan pemikiran secara sistematik dan logik. Kata penghubung memainkan peranan untuk menyambungkan ayat dan menggabungkan idea dan pemikiran dalam bentuk teks supaya menjadikan hasil penulisan bermakna dan difahami.
Antara kata penghubung yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
1) tambahan - dan, juga, selain itu, sebenarnya, lebih-lebih lagi dll
contoh ayat: Pelajar harus terlibat dalam aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Selain itu, pelajar juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti khidmat masyarakat agar dapat menjadi rakyat yang berguna.
2) perbandingan - selari dengan, sama dengan, jika dibandingkan dengan dll
contoh ayat: Taraf hidup rakyat di negara itu telah meningkat. Jika dibandingkan dengan taraf hidup mereka sepuluh tahun dahulu, kini mereka sudah mampu memiliki rumah sendiri.
3) perbezaan - tetapi, sebaliknya, berbeza dengan, walaupun, walau bagaimanapun, namun demikian, walau bagaimana sekalipun.
contoh ayat: Usahanya untuk membangunkan kawasan itu menemui jalan buntu. Walau bagaimanapun, dia masih tidak berputus asa untuk meneruskan usahanya itu.
4) contoh - misalnya, contohnya, sebagai contoh, sebagaimana yang ditunjukkan, biarlah kita ambil contoh, mari kita mengambil contoh, seperti yang, apa yang dimaksudkan(ialah..), seperti yang dipaparkan/ditunjukkan/disiarkan dll
contoh ayat: Bilangan penagih dadah dalam kalangan remaja semakin meningkat. Seperti yang disiarkan dalam akhbar baru-baru ini bahawa bilangan penagih dadah remaja meningkat sekali ganda.
5) kesimpulan -pendek kata, ringkasnya, sebagai rumusan, pada keseluruhannya, jika begitu, jadi, jikalau, kesimpulannya, maknanya ialah, implikasi daripada, jika tidak dll
contoh ayat: Masalah mat rempit yang suka berlumba secara haram semakin serius walaupun tangkapan demi tangkapan telah dibuat. Jika begitu, pihak berkuasa harus meningkatkan usaha dan mengenakan hukuman yang lebih berat supaya gejala ini dapat dibendung.
6) masa - pada mulanya, selepas itu, akhirnya, dewasa ini, sementara itu, sebelum itu, semenjak itu, pada masa kini, pada alaf ini, sejak bertahun-bertahun lalu, sejak azali lagi, sejak akhir-akhir ini dll
contoh ayat: Ekoran daripada bilangan kes kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun yang melibatkan penumpang di belakang. Akhirnya, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan telah melaksanakan undang-undang memakai tali panggang oleh penumpang di belakang.
7) hasil - oleh hal yang demikian, oleh sebab itu, akibatnya, kesudahannya, jadi
contoh ayat: Industri pelancongan merupakan industri yang menguntungkan dan mampu meningkatkan ekonomi negara. Oleh sebab itu, Kementerian Pelancongan menjalankan kempen-kempen untuk menarik pelancong asing melawat ke negara kita.
No comments:
Post a Comment