Monday, June 8, 2009

Pelajar Kita Masih Ketinggalan

Sistem pendidikan di negara kita masih tidak dapat mengejar perkembangan teknologi yang berlaku. Corak pentadbiran sekolah, kaedah pengajaran dan pembelajaran, fahaman dan pemikiran tentang pendidikan masih berada pada takuk lama.

Daripada KLSM ke KBSM yang berpusatkan guru kepada berpusatkan pelajar, masih kurang berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang betul-betul berkualiti dan dapat berdikari. Pelajar yang betul-betul berilmu pengetahuan bukan pelajar yang menghafal ilmu yang dipelajari. Satu senario pelajar-pelajar kita ialah mereka suka membeli dan membaca buku rujukan yang isi kandungannya lebih kurang sama seperti buku teks cuma lebih ringkas dan padat. Walaupun pelajar-pelajar secara umumnya kelihatan seperti lebih berkualiti tetapi sebenarnya tidak. Banyak perkara dan isu semasa dan hal-ehwal yang tidak diketahui mereka. Hal ini disebabkan mereka hanya tahu apa yang dibaca dalam buku dan apa yang diajar dan yang paling penting apa yang akan keluar dalam peperiksaan sahaja. Topik yang tidak diuji tidak akan dibaca.

Semasa dalam peperiksaan, pelajar akan memberi jawapan yang sebiji sama dengan apa yang telah diajar oleh guru-guru atau apa yang tercatat dalam buku rujukan. Mereka cenderung menghafal jawapan. Tidak mampu menjawab dengan menggunakan perkataan sendiri. Sebenarnya, fenomena ini menunjukkan mereka tidak faham akan apa yang dipelajari walaupun mereka mampu memberikan jawapan yang tepat.

Perkembangan teknologi internet dan web 2.0 sepatutnya didedahkan kepada pelajar-pelajar tentang cara penggunaan yang akan membawa manfaat yang tidak terhingga dan akan memudahkan pembelajaran mereka serta meluaskan ilmu dan pandangan mereka. Akan tetapi, pelajar kita masih banyak menggunakan teknologi ini untuk tujuan lain daripada pembelajaran.

Mewajibkan pelajar lulus dalam Bahasa Inggeris jika ingin mendapatkan sijil SPM mungkin hanya berkesan kepada pelajar yang mengambil berat tentang prestasi dan pelajaran mereka. Kepada mereka yang tidak berminat, apa jua cara tidak akan membawa apa-apa perubahan. Pemikiran dan tanggapan ibu bapa, guru, masyarakat serta pelajar itu sendiri perlu anjakan sebelum mereka mengerti dan faham akan matlamat sebenar pendidikan yang diberikan kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa masih tidak dapat menerima kaedah pengajaran yang dipratikkan oleh guru-guru. Jika guru menggunakan self-direted learning, self-paced learning, meminta pelajar-pelajar membina ilmu pengetahuan sendiri, guru-guru ini akan dikecam dan dikritik kerana tidak mengajar, tidak tahu mengajar dan hingga ada yang dituduh MALAS.

No comments:

Post a Comment