Saturday, June 13, 2009

Masalah Program Nilam / Projek Baca Membaca

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan sejak tahun 1999. Tujuannya untuk menggalakkan pelajar banyak membaca seterusya menanam minat untuk membaca.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya iaitu Kesan Program Nilan terhadap Tabiat Membaca Menurut Pandangan Murid dan Guru menunjukkan tahap penyertaan pelajar dalam Program Nilam masih rendah.

Sebenarnya, terdapat banyak sekolah yang menghadapi masalah untuk melaksanakan program ini. Bacaan yang dibenarkan merupakan buku cerita, cerpen ataupun novel. Sesetengah pelajar berasa Program Nilam ini merupakan satu bebanan kerja sekolah. Mereka dibeban dengan bilangan mata pelajaran yang banyak dan aktiviti kokurikulum dan yang mungkin menjadi penyumbang kepada masalah ini ialah kelas tuisyen yang banyak. Oleh itu ramai yang mengambil jalan mudah dengan mencari buku yang mempunyai catatan sinopsis cerita pada bahagian belakang kulit buku. Mereka akan menyalin sinopsis cerita tanpa membaca buku tersebut.

Blog boleh digunakan sebagai satu platform dalam pelaksanaan Program Nilam yang lebih berkesan dan menarik minat pelajar untuk membaca. Bahan Bacaan tidak dihadkan kepada buku cerita, cerpen atau novel sahaja. Artikel yang menarik dan sumber bacaan yang banyak dalam internet boleh digunakan untuk menarik minat pelajar membaca. Mereka bebasa memilih bahan bacaan mengikut minat daripada terhadap kepada genre tertentu sahaja.

Laporan pembacaan boleh dibuat dalam blog pelajar. Guru dan rakan sebaya mereka boleh memberi komen tentang apa yang mereka baca. Di samping menggalakkan mereka membaca, cara ini juga menggalakkan mereka menulis secara kritis dan kreatif. Kaedah ini juga dapat mengelakkan pelajar menyalin bulat-bulat sinopsis cerita yang dibekalkan pada bahagian kulit buku.

Malahan, pelajar juga diajar tentang Hak dan Harta Intelek, bagaimana hendak membuat citation, apa yang dikatakan sebagai plagiarism atau menciplak. Pelajar akan belajar untuk menghormati hak dan harta intelek orang lain.

Pelajar dapat berkongsi maklumat, buku yang dibaca daripada hanya mencatat apa yang dibaca dalam buku Program Nilam dan dihantar kepada guru yang disemak.

Blog membolehkan pelajar menyimpan bahan bacaan mereka, apa yang telah dibaca oleh mereka sepanjang tahun. Hal ini akan memberi satu gambaran kepada pelajar tentang tahap pembacaan mereka, perkembangan diri mereka dalam pelajaran mereka, kemajuan mereka dan lain-lain.

Perbincangan tentang sesebuah buku yang dibaca akan menarik minat pelajar lain atau rakan lain yang berminat untuk membacanya dan memberikan pandangan dan membuat perbincangan dan berkongsi idea dan kritikan yang mantap tentang sesuatu karya.

No comments:

Post a Comment