Kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling sukar dikuasai oleh pelajar-pelajar. Matlamat pendidikan pada peringkat sekolah rendah adalah agar pelajar-pelajar dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Jika dikaji secara mendalam, memang tidak susah untuk mencapai matlamat ini.
Kebanyakan pelajar apabila memasuki sekolah menengah didapati masih tidak dapat membaca dengan sebutan, intonasi dan nada yang betul. Hal ini berlaku terutama pada pelajar-pelajar bukan penutur asal Bahasa Melayu. Ada yang tidak dapat membaca dengan lancar, ada yang dapat membaca tetapi masih perlu mengeja kata demi kata, ada yang dapat membaca dengan agak baik tetapi tidak memahami apa yang dibaca. Pelajar juga dapat menulis, boleh dikatakan 100% tetapi kebanyakan tidak faham apa yang ditulis, mereka hanya tahu menyalin apa yang ditulis oleh guru.
Kebanyakan sekolah masih mempunyai kelas peralihan untuk pelajar-pelajar yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peperiksaan UPSR. Setiap tahun, bilangan pelajar yang perlu mengikuti kelas peralihan ini adalah lebih kurang 80-90 orang.
Saya mempunyai pengalaman mengajar pelajar-pelajar ini pada tahun 2007. Oleh sebab bilangan dalam satu kelas adalah 45 orang, jadi memang satu tugas yang cukup mencabar. Tambahan pula pada masa itu saya sedang mengandung.
Antara masalah yang dihadapi:
-bilangan pelajar terlalu ramai
-tahap kemahiran mereka agak jauh berbeza, bukan semuanya lemah
-buku teks yang digunakan perlu diubah suai mengikut tahap kemahiran pelajar
-masalah disiplin
Sebenarnya, kelas seperti ini perlulah tidak begitu ramai supaya perhatian yang cukup dapat diberikan kepada mereka. Semasa mengadakan ujian untuk mengenal pasti sama ada pelajar-pelajar ini buta huruf atau tidak. Guru yang berlainan mempunyai takrifan yang berbeza, ada yang hanya menguji sama ada seseorang pelajar itu dapat membaca atau tidak, ada yang mengutamakan pembacaan dan pemahaman, jika pelajar dapat membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca, pelajar seperti ini tetap dianggap sebagai buta huruf.
Setiap hari, selepas sekolah bersurai saya akan menahan pelajar yang membuat bising di dalam kelas dan mengajar mereka kadang-kadang 10 orang, 5 orang, 2 orang atau seorang. Hasilnya adalah sangat memuaskan daripada mengajar mereka dalam kumpulan yang begitu besar. Pelajar-pelajar dapat belajar dengan baik sekali jika bilangan mereka tidak ramai.
Oleh sebab itu, usaha yang berkesan agar pelajar-pelajar ini dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik adalah dengan mengurangkan saiz kelas.
No comments:
Post a Comment