Tuesday, April 7, 2009

Perlakuan Pelajar Masa Kini


Sejak akhir-akhir ini, banyak saya dengar tentang kerenah pelajar-pelajar sekolah yang cukup membimbangkan. Mungkin masyarakat sedar dan tahu akan perlakuan anak-anak muda yang bergelar pelajar ini. Pihak sekolah dan para guru faham benar akan apa yang berlaku di sekolah masing-masing.
Pelajar kita sekarang ini makin kurang bersopan-santun, tidak tahu tatacara dan pandai melawan. Berlagak pandai dan kurang kemahiran berfikir. Mereka tidak mementingkan pelajaran. Telefon bimbit, wang, pelbagai peralatan terbaharu dan keseronokan yang dikejar oleh mereka. Bahawa dengan adanya wang mereka mampu memiliki apa yang mereka mahu, itu yang menjadi sasaran dan fokus utama mereka.
Pelajar di kelas hujung hanya mementingkan benda-benda seperti ini, buku dan ilmu pengetahuan tidak membawa apa-apa makna yang signifikan kepada mereka. Mereka sanggup bekerja untuk mendapatkan apa yang dianggap penting untuk mereka. Hati dan tumpuan tidak pada pelajaran kerana pelajaran yang diikutinya sekarang tidak mampu memenuhi kehendak mereka ini.
Apa yang menjadi kerisauan ialah sikap mereka yang boleh dikatakan biadap, tidak menghormati guru dan berani melakukan apa sahaja contohnya:
-berani menyuruh guru jangan mengganggunya tidur
-berani berjudi tanpa rasa takut apabila terdapat peluang untuk berbuat demikian
-berani membawa telefon bimbit ke sekolah dan menggunakannya di dalam kelas
-berani membawa pelbagai bahan larangan ke sekolah dan menggunakannya di dalam kelas
-berani melawan cakap guru, malah pengetua
-berani mengeluarkan kata-kata kesat
-berani keluar dan masuk ke kelas sesuka hati
-tidak menghormati guru
-tidak mengetuk pintu untuk meminta kebenaran masuk ke dalam kelas, ada yang masuk ke kelas ikut pintu belakang
-tidak mahu /malas hendak bangun untuk memberikan hormat kepada guru yang masuk ke kelas dan keluar dari kelas
-tidak mahu membuat kerja rumah dengan alasan buku hilang dan tak ada duit beli yang baharu
-tidak mahu membeli buku latihan (buku latihan diberi percuma pun tak mahu buat)
-suka melepak walaupun di sekolah, suka ponteng kelas, ponteng sekolah
Apa kita nak buat dengan pelajar-pelajar ini? Denda, Demerit, Kaunseling, Gantung Sekolah.
Semua ini seperti mencurah air di daun keladi.......apa jua tindakan disiplin diambil terhadap mereka, mereka tidak endah pun. Kalaupun diberhentikan persekolahannya, mereka bukannya kisah sebab mereka memang tidak berminat untuk belajar. Sekolah bagaikan penjara bagi mereka. Kita selalu dapat mendengar pelajar-pelajar ini berkata bahawa mereka tidak mahu bersekolah, tetapi dipaksa oleh ibu bapa. Kalau diberhentikan, mereka hanya perlu memohon untuk kembali ke sekolah, itu saja. Jadi, tak heran buat mereka kalau diberhentikan sekalipun.
Adakah disebabkan peluang untuk pelajar-pelajar yang lemah dan gagal mencapai tahap minimun dibenarkan terus berada di sekolah?
Adakah disebabkan pengaruh luar terutamanya media massa yang memaparkan unsur-unsur keberanian pelajar menentang guru-guru dan pihak atasan?
Adakah disebabkan ibu bapa kini yang terlalu manjakan anak-anak, melindungi anak walaupun terbukti anaknya didapati memang bersalah?
Adakah disebabkan kuasa merotan pelajar tidak lagi diberi kepada guru-guru hanya guru disiplin, penolong kanan, pengetua dengan perlu ada saksi?

No comments:

Post a Comment