Ingin berkongsi artikel tentang penulisan pada abad ke-21 oleh Kahtleen Blake Yancey bekas Presiden National Council of Teachers of English.
Penulisan dan belajar untuk menulis merupakan elemen yang semakin penting dalam sistem pendidikan. Penulisan perlu diajar bukan diperoleh seperti pertuturan. Penulisan melibatkan kemahiran yang lebih kompleks daripada pertuturan, perdengaran dan pembacaan. Bukan semua orang dapat menulis dengan baik.
Pada abad ke-21, sesiapa sahaja boleh menulis sama ada pada kertas atau secara dalam talian(online), sama ada menulis untuk diri sendiri, menulis untuk diterbitkan, menulis sebagai sumber rezeki, menulis untuk kepuasan, menulis dengan berkongsi ilmu dan maklumat, dan macam-macam lagi. Semua ini bergantung kepada apa yang ingin kita tulis.
Perubahan ini memerlukan kita terutamanya Bahagaian Perancangan Kurikulum peka tentang aspek penulisan yang diajar kepada pelajar-pelajar abad ke-21. Kurikulum penulisan memerlukan perubahan dari segi matlamat dan pendekatan pengajaran penulisan yang dapat memenuhi tuntutan pada abad ke-21. Pelajar tidak lagi menulis dalam buku karangan mereka. Mereka menulis emel, sms dan blog. Kualiti penulisan mereka perlu diambil perhatian dan bahasa yang digunakan perlu diajar agar penulisan mereka tidak sumbang. Oleh itu model dan kurikulum baharu perlu direka untuk menyokong pengajaran penulisan pada abad ke-21 ini.
Kita mampu mengawal apa yang perlu dibaca oleh pelajar tetapi agak sukar untuk mengawal apa yang patut ditulis oleh pelajar. Pelajar boleh menulis apa sahaja yang menarik minat mereka terutamanya pada abad ke-21. Pelbagai medium, saluran dan platform boleh digunakan oleh pelajar untuk menulis.
Ekoran perkembangan teknologi digital terutamanya teknologi web2.0, nampaknya penulis ada di mana-mana sahaja sekarang, mereka menulis dalam ruang sembang(chat rooms), emel, sms dan blog. Penulisan ini milik penulis itu bukan milik sesuatu institusi.
Kathleen berpendapat bahawa kita menulis untuk berkongsi maklumat, dan mungkin menggalakkan dialog tetapi kebanyakannya untuk penglibatan iaitu melibatkan diri dalam bentuk penulisan pada abad ke-21 ini. Beliau menamakan fenomena ini sebagai Age of Composition.
No comments:
Post a Comment