Sunday, April 12, 2009

Paralinguistik


Dalam penguasaan kemahiran bahasa dan berbahasa, kebiasaannya yang diberi fokus ialah kemahiran bahasa. Aspek paralinguistik kurang diberi perhatian kerana tidak diuji dalam peperiksaan. Penilaian dalam ujian lisan melibatakan aspek sebutan dan intonasi namun kemahiran lisan ini tidak diajar, para pelajar diajar untuk membaca dan kurang diajar cara bertutur atau berucap yang baik. Kebanyakan pelajar didapati kurang mahir dalam pengucapan, nada, intonasi dan pergerakan fizikal mereka adalah mendatar dan tidak menarik.
Apabila diminta untuk berucap, pelajar akan mencari seribu satu alasan untuk menolak. Mereka tidak melihat berucap di hadapan kelas untuk sebagai satu peluang untuk melatih kemahiran pertuturan dan pengucapan mereka. Setelah segala cubaan gagal, jadi mereka akan berucap di hadapan kelas dengan sebutan yang tidak jelas, suara yang lembut, intonasi yang mendatar, nada yang kurang sesuai, jeda yang tidak tepat, pergerakan fizikal yang kaku, suka meletakkan kedua-kedua tangan di belakang, ada yang suka berdiri dan menyandar pada meja, ada yang bercakap tanpa melihat pada audien mereka.
Oleh sebab itu, aspek paralinguistik ini perlu dititikberatkan dan pelajar harus diberi ruang dan peluang yang mencukupi untuk melatih kemahiran berucap dan bertutur di khalayak ramai. Usaha ini perlu dilakukan sejak pelajar ini di bangku sekolah. Bermula dengan setiap pelajar harus boleh bercerita atau keluar berucap di hadapan kelas. Latihan dan bimbingan guru akan menambah keyakinan pelajar untuk berucap dengan baik dan betul. Jika tidak, amatlah sukar untuk guru-guru di peringkat sekolah menengah meyakinkan pelajar-pelajar bahawa berucap di hadapan kelas atau di khalayak ramai itu penting pada masa depan apabila mereka memasuki kolej atau universiti atau semasa mereka bekerja. Mereka harus berupaya untuk menyampaikan idea dan pendapat mereka secara berkesan.

No comments:

Post a Comment