Sunday, December 20, 2015

Bab 20: Ingin Kujunjung Langit

Bab 20: Ingin Kujunjung Langit

            Cerita bermula dengan Embong dibenarkan pulang ke rumah, tidak sampai seminggu Embong ditahan di hospital. Sebenarnya, Embong ingin pulang awal untuk bekerja, melihat rumah dan menjaga anak-anak tetapi doktor tidak benarkan. Embong tidak sabar-sabar hendak ke kebun tetapi badannya masih lemah mungkin disebabkan bisa ular tedung atau kerana suntikan yang diberikan oleh doktor.
            Petang semalam, Tauke Lim melawatnya berbincang tentang tanah dan petang semalam Nek Kiah dan 2 orang lelaki datang mengukur tanah. Beberapa minit sebelum itu, Dahlia memberitahu Embong bahawa dia menyuruh nenek menunggu bapanya pulang barulah berbincang tentang isu tanah, tetapi nenek tetap menyuruh Lia meninggalkan rumah itu. Walaupun Dahlia telah memberikan macam-macam alasan tetapi neneknya tidak ambil peduli. Embong amat marah tetapi Dahlia meminta Embong jangan apa-apakan nenek. Embong faham akan maksud Lia, jika dia bertindak tanpa akal fikiran, anak-anaknya akan menjadi mangsa, dia tidak mahu menambah masalah. Embong meminta Dahlia mengambilkannya parang kerana dia hendak memotong dahan-dahan yang patah. Dahlia melarang kerana merasakan bapanya belum sihat sepenuhnya tetapi bapanya memberitahu kalau duduk sahaja, dia akan semakin sakit. Dahlia memberikan bapanya sebilah parang pendek, Embong mengambil batu asah yang terletak di tepi tempayan. Sambil mencangkung, Embong mengasah parang pendek, hanya beberapa minit parang sudah berkilat. Dia terdengar suara emak mentuanya. Dahlia muncul di muka pintu apabila dipanggil oleh neneknya dan menanyakan sebab nenek memanggilnya. Nek Kiah menanya Dahlia sama ada dia sudah lupa pesanannya semalam. Embong mengasah semula parangnya, Nek Kiah terdengar geselan besi dan batu, dia menoleh.  Nek Kiah terkejut melihat Embong dan bertanya Embong bila dia balik. Embong menjawab sudah lama. Nek Kiah bertanya kepada Dahlia pula tetapi dengan nada yang lebih lembut sedikit sama ada dia sudah memberitahu bapanya kata-kata neneknya semalam. Embong pula yang menjawab sudah kemudian Embong bertanya kepada Lia sama ada ayam jantan di reban masih ada kerana dia mahu menyembelih ayam itu. Embong memberitahu bahawa parang itu sudah lama tidak mencecah leher, sudah diasah tajam, mungkin sekali hayun putus leher ayam itu. Nek Kiah berasa tidak sedap hati mendengar kata Embong. Dahlia berasa bimbang bapanya akan bertindak jauh. Nek Kiah berasa geram lalu cepat beredar. Sambil  melangkah, mulut Nek Kiah menceceh. Embong tersenyum. Dahlia menarik nafas lega kemudian duduk di kepada tangga dan berkata bahawa neneknya akan datang lagi. Embong meminta Dahlia jangan bimbang kerana Embong ada. Dahlia berkata bahawa mereka tidak boleh membuat apa-apa jika nenek ingin menjual tanah kepada orang lain, sepatutnya mereka beli, tetapi dari mana mereka hendak mencari duit sebanyak itu. Embong terdiam. Dahlia memberitahu sebab itu dia bercadang hendak bekerja di kilang. Embong marah apabila Dahlia membangkitkan hal itu. Embong tidak mahu anak-anaknya seperti orang kampung yang sanggup terkejar-kejar duit hingga menyuruh anak berhenti belajar. Dahlia memberitahu bahawa dia mahu membantu bapanya. Embong perlu menyatakan bahawa kalau hendak membantu bapanya, Dahlia perlu belajar sampai ke univerisiti, kalau tidak ada duit, gadai barang kemas ibunya. Embong memberitahu bahawa dia masih kuat, mampu memberi makan kepada Dahlia dan adik-adiknya. Embong memberitahu bahawa jika anak-anaknya tidak berjaya dalam pelajaran, hidup keluarga mereka tidak akan berubah. Dahlia mempersoalkan masalah rumah mereka itu. Embong berkata Tauke Lim akan menolong. Dahlia memberitahu  bahawa mereka telah banyak menerima budi Tauke Lim. Embong pula mengatakan bahawa orang lain asyik bercakap sahaja, tetapi tidak sanggup membantu, lebih baik menerima budi daripada kaum lain.
            Embong meminta Dahlia ke sekolah esok, tetapi Dahlia memberitahu bahawa esok hari Jumaat, cuti. Embong menyuruh Dahlia pergi ke sekolah hari Ahad, dia akan menjaga Anggerik, selepas Dahlia balik, baru Embong akan ke kebun. Embong terus melangkah menuju ke kebun getah, ranting-ranting kayu yang bertaburan dipungutnya, manakala kayu yang patah dipotongnya. Sambil memotong dahan –dahan kayu, dia teringatkan isterinya. Bertanyakan keadaan isterinya dan berkata bahawa sejak isterinya tiada, pelbagai dugaan ditanggung oleh mereka. Embong berkata bahawa walaupun dugaan mendatang dan terus mendatang, dia akan menjaga anak-anak mereka dengan baik dan tidak mahu anak-anaknya mengabaikan pelajaran.
            Sebuah motosial menderu masuk ke halaman, Tauke Lim berasa gembira melihat kawan baiknya sudah baik. Embong begitu terharu, sejak dia pulang pagi tadi, hanya tetamu inilah yang datang menjenguknya. Tauke Lim tidak terus ke tempat Embong tetapi melihat kayu sebesar ibu jari yang dicacak di tanah lalu berkata nampaknya betul-betul tanah itu hendak dijual. Embong berkata bahawa dia tidak dapat berfikir. Jika dipaksa keluar, dia tidak ada pilihan lain. Tidak tercatat walau sebaris surat yang membenarkannya tinggal di situ, cuma ikatan kekeluargaan sahaja. Tauke Lim memberitahu bahawa dia akan menolong Embong. Embong menyatakan dia berasa tidak sedap hati menerima budi orang kerana melibatkan wang yang banyak. Tauke Lim meminta Embong jangan berasa bimbang, dia ada duit, buat apa simpan banyak-banyak. Hari ini Embong menghadapi masalah, dia tolong, kemungkinan esok atau lusa, dia pula menghadapi masalah, masa itu Embong pula akan membantunya. Mereka tolong-menolong. Tauke Lim menyuruh Embong jangan peduli kata orang lain, mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak mahu menolong. Tauke Lim memberitahu bahawa walaupun dia oran Cina tetapi dia menganggap orang Melayu ialah bangsa yang paling baik. Dia dan keluarganya dapat hidup senang di situ. Sikap orang Melayu dulu suka tolong-menolong tetapi sekarang kurang sangat. Embong memberitahu orang sekarang sibuk mencari harta. Tauke Lim memberitahu bahawa semua orang hidup untuk mencari harta, mahu hidup senang. Ramai yang menolak jika ada kenduri-kendara. Esok pula majlis Malidur Rasul, Imam Deraman mengeluk kepada Tauke Lim kerana susah hendak menyuruh orang memasak, semua sibuk. Kalau pun ada yang sanggup, perlu dibayar upah. Embong memberitahu bahawa sikap orang bandar sudah masuk ke kampung tetapi Tauke Lim mengatakan bahawa orang bandar pun ada sikap bekerjasama.
           Tauke Lim berkata bahawa dia tidak meminta apa-apa, cuma dia berasa senang hati kalau mereka seperti dulu, ada sikap muafakat. Orang yang menanam nyiur kadang-kadang tidak makan buahnya. Dia junjung langit di situ, jika runtuh, sama-sama menahan. Embong memandang tepat ke wajah Tauke Lim. Dilihatnya Tauke Lim bukan orang lain, tetapi seperti darah daging dirinya sendiri.


No comments:

Post a Comment