Sunday, December 20, 2015

Bab 21:Hijrah Remaja Harapan

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan

            Cerita bermula dengan Dahlia yang hendak pergi ke balai raya pagi waktu pagi, petang nanti giliran bapanya. Dahlia tidak mahu menjaga kera sumbang, sewaktu tinggal di asrama, Lia tidak berkesempatan untuk bercampur gaul dengan masyarakat kampung. Majlis Maulidur Rasul pada malam tahun ini akan diisi dengan ceramah keagamaan  yang dinanti-nantikan oleh penduduk selain bekerjasama menjayakan majlis.
            Dahlia sampai di balai raya 10 minit sebelum 9pagi tetapi suasana lengang. Haji Sulaiman yang tercegat di pintu balai raya gembira melihat kedatangan Dahlia, dia tidak tahu anak dara yang lain ke mana.Haji Sulaiman meminta Dahlia mengupas bawang besar dan lain-lain. Hari sudah siang tetapi tidak nampak orang kampung lagi. Malam nanti, Kadi Batu Pahat akan menyampaikan ceramah, Haji Sulaiman tidak tahu sama ada penduduk kampung akan datang? Takut orang kampung terperap di rumah menonton televisyen. Haji Sulaiman berasa geram kerana majlis memuliakan keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak diminati oleh penduduk kampung.
            Dahlia terus melakukan kerja tanpa arahan sesiapa. Kerja-kerja dapur sudah menjadi rutin hidupnya. Haji Sulaiman bersama-sama Iman Deraman yang baru muncul sibuk mengarahkan orang kampung yang baru datang. Sesekali Dahlia menjeling, terlihat wajah Hj Sulaiman yang tidak ceria, dia tahu Hj Sulaiman jengel dengan sikap penduduk kampung. Aton muncul di belakang Dahlia bertanya kepada Hj Sulaiman tentang orang yang memberikan banyak barang di situ. Haji Sulaiman memberitahu bahawa barangan tersebut dibeli, diderma daripada orang ramai, tetapi banyak sumbangan daripada Tauke Lim. Aton memuji Tauke Lim seorang yang baik tetapi adakah halal dimakan barangan pemberian Tauke Lim. Haji Sulaiman berkata halal. Haji Sulaiman terus membuat kerja, orang semakin ramai, Aton sibuk ke sana ke sini, kerjanya kurang, cakapnya sahaja yang lebih, semua orang faham akan perangai Aton. Dahlia memotong mentimun pula. Abu Bakar, tanpa disedari rupa-rupanya berada tidak jauh daripadanya mencabut bulu ayam. Pada masa itu, Lia terbayang emaknya, teringat akan Azhari dan terkenang alam persekolahan.
            Hajah Maimon, isteri Haji Sulaiman meminta Aton berkahwin lagi supaya mulutnya tidak bising kerana kurang senang dengan orang yang banyak bercakap. Aton berkata bahawa dia boleh hidup sendiri tetapi ada orang , isterinya dihantar jauh-jauh, tetapi tak kisah kerana ada anak dara di rumah. Tangan Dahlia tiba-tiba menggigil mendengar kata-kata Aton. Aton memberitahu bahawa apa yang dikatakannya adalah betul, ramai lelaki yang datang, lepas seorang, seorang lagi. Hajah Maimon meminta Aton menutup mulutnya tetapi Aton mengatakan bahawa dia nampak sendiri, sekarang pula, Tauke Lim baik sangat dengan keluarga itu, dengar khabar hendak membantu keluarga itu belasan ribu ringgit, Tauke Lim juga yang untung.
            Tiba-tiba terdengar hentakan kuat, semua memandang ke satu arah. Masing-masing kehilangan kata apabila Dahlia tergesa-gesa meninggalkan tempat duduknya. Haji Sulaiman kehairanan. Abu Bakar berkata bahawa mencerca nama keluarganya, samalah menghinanya juga. Aton pula mengatakan bahawa kakaknya Dahlia perasan sangat. Abu Bakar seperti harimau menerpa ke arah Aton tetapi ditahan oleh Hj Sulaiman dan meminta Abu Bakar bersabar. Abu Bakar terdiam, sejak kebelakangan ini, walaupun dia suka mundar-mandir ke sana dan ke sini tetapi telinganya tidak dapat menahan fitnah seperti itu. Dahlia menangis sesampai di rumah, dia tidak dapat berbuat apa-apa selain menangis. Dahlia tidak menyangka Aton yang dihormatinya sebagai orang tua menyimpan dendam. Embong yang bersiap ke masjid kehairanan, Melati dan Kiambang pula tidak berani bertanya, pada masa itu, Abu Bakar pulang ke rumah. Embong bertanya Bakar dia dari mana, Bakar memberitahu dari balai raya dan bertanya apa yang berlaku kepada Dahlia. Bakar memberitahu mulut Aton memang patut dijahit semasa membuka tali kasut. Apabila ditanya oleh Embong ke mana Bakar hendak pergi, Bakar memberitahu bahawa dia hendak memujuk kakaknya. Embogn kehairanan dengan sikap Bakar yang tiba-tiba menjadi baik.
            Bakar menolak pintu yang tidak berkunci, dilihat kakaknya sedang terbaring. Kakaknya terlalu baik berbanding dengan dirinya tetapi mengapa pula dikata bukan-bukan oleh Aton?  Bakar meminta Lia bersabar , jangan fikirkan sangat kata-kata Aton yang bermulut celopar. Bakar memberitahu kalau bukan Haji Sulaiman menghalangnya, dia sudah kerjakan Aton. Dahlia memberitahu Bakar bahawa dia tidak kisah kata-kata orang. Semua orang cuma tahu bercakap, cabaran sudah terlalu banyak ditempuhi Dahlia, sejak emak sakit, bapa mereka masuk hospital, hinggalah tanah rumah ini hendak dijual. Bakar terdiam, menunduk. Dahlia memberitahu bahawa tidak ada sesiapa yang hendak menolong mereka, saudara mara pun buat tidak kisah, hanya Tauke Lim yang hendak membantu mereka. Bakar terasa kata-kata Dahlia itu menyindirnya. Dia menghentakkan kepalanya ke dinding, apabila ditanyakan sebabnya, Bakar berkata bahawa dia memang anak yang tidak berguna. Dahlia menggeleng. Dahlia memberitahu Bakar bahawa mereka tidak akan marah lagi jika Bakar hendak berjalan, atau tidak mahu balik ke rumah kerana mereka diajar hidup susah, kalau Bakar tidak peduli akan hal keluarga, mereka tidak akan mati kebuluran. Bakar menjerit “TIDAK”. Embong muncul dengan wajah kehairanan dan bertanya kepada Bakar apakah sebabnya, Abu Bakar memeluk bapanya Embong. Embong tidak tahu apa sebabnya. Dia memandang Dahlia, anak gadisnya tersenyum. Bakar berkata bahawa dia banyak menyusahkan bapanya, dialah yang menjual kambing bapanya.


No comments:

Post a Comment